Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dakwaan Rasuah: Shamsul Iskandar Dijangka Hadir Beri Keterangan Esok - SPRM

27/11/2025 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dijangka hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, esok bagi memberi keterangan berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan telah dibuka susulan dakwaan berkenaan oleh sebuah portal berita.

“Setakat ini, tiga saksi telah dipanggil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam berkata Albert pula akan dipanggil pada 1 Dis, selepas dia memohon penangguhan berikutan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Selain kedua-dua mereka, Azam berkata seorang wanita yang dikaitkan dalam klip video tular berbual bersama Albert, telah tampil memberi keterangan pukul 2 petang tadi.

“Semua individu yang diarahkan hadir perlu memberikan kerjasama penuh bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan segera.

Ad Banner

“Saya telah mengarahkan pegawai untuk menyiapkan siasatan dalam tempoh dua minggu, kerana kes ini dianggap serius dan perlu diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Pada 25 Nov, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

SPRM sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan Albert dan Shamsul Iskandar sedang dijalankan, dan semua pihak berkaitan akan dipanggil bagi mengumpul bukti yang diperlukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan