Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM, ATM Perkukuh Kerjasama Strategik Dalam Sektor Pertahanan

09/03/2026 07:02 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus meningkatkan kerjasama strategik menerusi pelbagai bidang, khususnya dalam memperkukuhkan integriti serta tadbir urus pertahanan negara.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Azam dalam kenyataan hari ini berkata menerusi kerjasama itu, SPRM dan ATM juga akan memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) di antara Bahagian Perisikan SPRM dan Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Inisiatif ini dilihat sebagai pendekatan strategik bagi memastikan setiap proses dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta mematuhi peraturan dan tatakelola kewangan kerajaan.

“SPRM bersetuju untuk bekerjasama dengan ATM daripada aspek latihan pengurusan integriti dan penambahbaikan strategi antirasuah ATM,” katanya.

Dalam pertemuan itu, SPRM memaklumkan kedua-dua pihak turut menyentuh pelaksanaan tatakelola dalam bidang pengurusan perolehan, tender dan sebut harga bagi tempoh enam bulan.

Pertemuan itu turut memfokuskan usaha pengukuhan kerjasama dalam aspek pengurusan media serta pemantapan mekanisme komunikasi bagi menyokong agenda pencegahan rasuah dalam ekosistem pertahanan.

“Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai beberapa isu teknikal serta peluang kerjasama dua hala antara SPRM dan ATM bagi mempertingkat kecekapan sistem penyampaian selain memperkukuh budaya integriti dalam institusi pertahanan negara,” menurut SPRM.

Pertemuan sulung ini juga bersempena dengan pelantikan Malek Razak sebagai PAT ke-24 yang baharu berkuat kuasa pada 1 Feb lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan