KUALA TERENGGANU, 13 Nov (Bernama) -- Sembilan masjid di Terenganu diwartakan sebagai lokasi rasmi pelaksanaan hukuman sebat mengikut hukum syarak di luar penjara yang mula berkuat kuasa 20 Nov tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata penetapan lokasi itu dilakukan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Sultan Mizan Zainal Abidin dan mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Di daerah Kuala Terengganu, dua masjid telah dipilih iaitu Masjid Abidin dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah manakala satu masjid masing-masing di daerah lain.
“Lokasi itu dipilih bagi memudahkan pengurusan serta memastikan proses pelaksanaan hukuman mengikut tatacara yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Muhammad Khalil berkata antara masjid diwartakan ialah Masjid Wakaf Tembesu (Kuala Nerus), Masjid Sultan Ahmad (Kemaman), Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah (Dungun), Masjid Nasiruddin Shah (Besut), Masjid Ajil (Hulu Terengganu), Masjid Kelulut (Marang) dan Masjid Bandar Permaisuri (Setiu).
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial