Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jaket Solat Beri Kesan Positif, Bantu Tingkat Kekhusyukan Beribadah

11/03/2026 10:07 AM

Oleh Afifitri Muhammad

KUANTAN, 11 Mac (Bernama) -- ‘Mudah dan praktikal’. Itu yang dapat diterjemahkan mengenai inisiatif Masjid Al Mujahirin Indera Mahkota di sini, yang menyediakan kemudahan jaket solat, sekali gus memberikan kesan positif dalam membantu meningkatkan kekhusyukan ketika menunaikan solat.

Pengerusi Masjid Al Mujahirin Indera Mahkota Datuk Idros Yahya berkata idea menyediakan jaket itu tercetus hasil pemerhatiannya terhadap kehadiran jemaah, khususnya mereka yang datang dari luar kawasan atau terus dari tempat kerja dan aktiviti riadah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata sebahagian jemaah terpaksa menunaikan solat dengan pakaian kerja atau pakaian sukan yang mempunyai pelbagai tulisan dan gambar di bahagian belakang yang boleh mengganggu tumpuan jemaah lain di saf belakang.

“Kita faham keadaan itu dan tidak mahu mereka rasa tidak dialu-alukan ke masjid. Jadi kita sediakan alternatif berupa jaket yang boleh disarung sahaja bagi menutup tulisan atau gambar pada pakaian mereka ketika solat, sekali gus membantu jemaah lain lebih khusyuk,” katanya kepada Bernama.

Idros berkata pihaknya hanya membelanjakan anggaran RM800 untuk menyediakan kira-kira 20 jaket yang ditempatkan di beberapa pintu masuk utama masjid bagi memudahkan jemaah memakainya sebelum menunaikan solat.

“Pihak masjid turut menyediakan poster penerangan serta membuat pengumuman kepada jemaah mengenai kemudahan itu bagi memastikan mereka memahami tujuan penyediaannya,” katanya.

Idros yang juga bekas pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Pahang berkata inisiatif itu turut diilhamkan daripada pengalamannya dalam sektor pelancongan sebelum ini, termasuk usaha mempromosikan pelancongan masjid kepada pelawat luar negara.

Beliau berkata di kebanyakan masjid negeri dan Masjid Negara, kelazimannya pelawat disediakan jubah bagi memastikan mereka berpakaian sopan ketika berada di dalam kawasan masjid.

“Konsepnya hampir sama. Kita tidak menegur secara keras, tetapi menyediakan pakaian tambahan supaya mereka dapat menunaikan solat dengan lebih selesa dan sopan,” katanya.

Mengulas penerimaan masyarakat, Idros berkata kebanyakan jemaah menyambut baik inisiatif itu malah ada yang menggunakan jaket berkenaan ketika cuaca sejuk di dalam masjid.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Abdul Zaki Md Zain turut menyifatkan inisiatif  berkenaan wajar dilaksanakan dan diikuti oleh masjid lain di negeri ini kerana ia membantu menyantuni pelbagai situasi jemaah yang hadir ke masjid untuk beribadah.

Beliau berkata langkah itu juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kekhusyukan makmum di saf belakang dengan mengelakkan gangguan daripada gambar atau tulisan pada pakaian jemaah di hadapan.

“Dalam Mazhab Imam Syafie, pemakaian pakaian yang mempunyai tulisan atau gambar ketika solat adalah makruh kerana boleh mengganggu tumpuan dan kekhusyukan jemaah lain,” katanya. 

Abdul Zaki berkata inisiatif berkenaan juga selari dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyantuni orang ramai yang hadir ke masjid, antaranya penyediaan telekung, kopiah, sejadah dan jubah kepada pengunjung termasuk bukan Islam atau mereka yang tidak berpakaian sempurna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan