Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sistem ANPR Berada Pada Peringkat RFP - Nanta

08/11/2025 05:47 PM

BALIK PULAU, 8 Nov (Bernama) -- Sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) ketika ini berada pada peringkat Request for Proposal (RFP), menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pihaknya membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan bagi pelaksanaan sistem tol tanpa palang itu yang merupakan antara langkah strategik ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) yang lebih cekap dan efisien.

"Kita mengamalkan sistem RFP, jadi kita juga gunakan kaedah business to business, sekarang kita masih buka kepada pihak yang berminat dan menerima pelbagai cadangan daripada mereka.

"Mengenai jangkaan pelaksanaan sistem tol tanpa palang, ia dijangka dapat dimuktamadkan tahun depan kerana kita tidak mahu terburu-buru dan perlu teliti secara terperinci kerana pelaksanaan sistem tersebut memberikan implikasi besar kepada pelbagai pihak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak di projek pembaikan cerun di laluan FT006 Seksyen 40.84 Jalan Balik Pulau–Teluk Bahang, di sini hari ini.

Sistem ANPR mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai, selain menyediakan paparan e-invois, semakan transaksi dan pelbagai perkhidmatan mobiliti lain melalui satu platform digital bersepadu.

Pengguna hanya perlu mendaftar secara dalam talian menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran.

Sementara itu, Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) turut menjalankan kajian rapi dengan meninjau pelaksanaan sistem pengangkutan pintar (ITS) di beberapa negara maju.

''Saya baru pulang dari Korea bersama-sama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KKR, kami juga sudah beberapa kali meninjau ke negara lain untuk melihat cara mereka melaksanakan ITS,'' katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan