BALIK PULAU, 8 Nov (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menjalankan pemantauan berterusan ke atas lebih 2,000 cerun berisiko tinggi yang telah dikenal pasti di seluruh negara sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 27,000 cerun yang dikenal pasti menerusi pengoperasian sistem Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Memang dalam data bank kita ada 2,000 cerun berisiko tinggi dan kita tahu mana lokasi-lokasi cerun mengikut keseriusan, iaitu yang teruk, yang memerlukan kerja-kerja segera serta yang boleh kita pantau, semuanya kita buat pemantauan berterusan.
"Kita telah pantau dari awal termasuk sebelum musim Monsun Timur Laut lagi, jadi dari segi kesiapsiagaan kita telah bersiap sedia untuk membantu daripada semua sudut termasuk kalau ada banjir, cerun runtuh serta macam-macam lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembaikan cerun di laluan FT006 Seksyen 40.84 Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.
Nanta berkata KKR juga menyediakan peruntukan antara RM200 juta hingga RM300 juta setiap tahun bagi kerja-kerja membaiki cerun termasuk di jalan Persekutuan seluruh negara bagi memastikan ia selamat.
JKR turut memasang 73 stesen tolok hujan sebagai persiapan menghadapi MTL dan cuaca tidak menentu yang dijangka bermula 5 Nov lepas hingga Mac 2026.
"Kita ada 73 stesen tolok hujan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang kita pasang di sepanjang jalan Persekutuan untuk memantau dan memberi amaran awal jika berlaku hujan lebat, maka ia bagi signal kepada ibu pejabat untuk memaklumkan kepada daerah terlibat.
"Pemasangan itu penting dan ia melibatkan kawasan berisiko tinggi dan bila hujan lebih daripada 115 milimeter, maklumat terus disalurkan kepada kawasan terlibat," katanya.
Mengenai lawatan hari ini, Nanta berkata KKR telah meluluskan peruntukan RM1.3 juta bagi pelaksanaan kerja penyenggaraan cerun yang terjejas akibat tanah runtuh pada 23 dan 24 Okt itu dan akan dilaksanakan bermula 14 Nov dengan tempoh pembinaan selama empat bulan.
Beliau berkata pelaksanaan kontrak jangka panjang bagi kerja-kerja penyenggaraan cerun itu mencerminkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tindakan pantas terhadap cerun-cerun kritikal tanpa menunggu proses perolehan biasa yang panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial