ALOR SETAR, 6 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerima lebih 20,000 maklum balas dan bantahan daripada pemilik pegangan berhubung penilaian semula cukai taksiran di bawah pentadbirannya setakat 10 pagi semalam.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata sebanyak 17,000 maklum balas atau bantahan diterima secara dalam talian, manakala 3,000 lagi diserahkan secara fizikal oleh Dewan Perhimpunan Cina Kedah dan Persatuan Kebajikan Orang-Orang Tionghua Simpang Empat.
Beliau berkata bagaimanapun jumlah keseluruhan selepas tempoh bantahan berakhir semalam masih dalam semakan lanjut pihaknya.
“Kami akan memberikan pemakluman lanjut mengikut kategori dan data berkaitan bantahan ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Gafar berkata semalam merupakan hari terakhir untuk sesi bantahan dan selepas ini, MBAS akan mengadakan sesi pendengaran awam dengan proses dilaksanakan mengikut kes sebelum diangkat semula kepada Pihak Berkuasa Negeri.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua warga bandar raya yang memberi pandangan, maklum balas atau bahasa undang-undangnya bantahan kepada proses penilaian semula cukai taksiran atau cukai pintu MBAS yang telah kita tidak laksanakan sejak 32 tahun lepas,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan MBAS sedang menjalankan proses penilaian semula cukai taksiran baharu sebelum dikuatkuasakan bermula 1 Jan 2026.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan berhubung penilaian semula cukai taksiran MBAS.
Beliau berkata urusan ketika ini masih dalam bidang kuasa MBAS dan Datuk Bandar Alor Setar, sebelum laporan penuh dibentangkan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial