KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Anugerah Life At Work (LAWA) yang memasuki tahun ke-10 penganjurannya, berperanan melengkapkan dasar dan undang-undang sedia ada dalam menggalakkan budaya kerja fleksibel, inklusif dan lestari, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata Malaysia sudah mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang seperti Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh selain dasar serta garis panduan yang menetapkan amalan terbaik di tempat kerja.
“LAWA pula bertindak sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada syarikat dan tokoh yang telah mengamalkan nilai serta budaya kerja tersebut,” katanya pada sidang media anugerah berkenaan di sini malam tadi.
Sim berkata anugerah anjuran badan pemikir stategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu menerima penyertaan daripada 266 syarikat dengan lebih 700 pencalonan bagi 13 kategori, termasuk tiga kategori baharu iaitu Sekolah Masa Depan, Universiti dan Kolej Masa Depan dan Pemangkin Perubahan.
Beliau berkata penyertaan yang memberangsangkan tahun ini, terutama dalam kalangan syarikat besar dan agensi kerajaan, menunjukkan kesedaran tentang kepentingan kesejahteraan di tempat kerja bukan sekadar tanggungjawab sosial tetapi keperluan ekonomi.
“Kita dapat lihat daripada penyertaan syarikat berkenaan bahawa perkara ini memang boleh dilaksanakan. Syarikat boleh terus memperoleh keuntungan dan pada masa yang sama kebajikan, kemahiran, martabat dan maruah pekerja dapat dipertingkatkan,” katanya.
Antara pemenang LAWA 2025 ialah Mercedes-Benz Malaysia, yang membawa pulang Anugerah Inovasi Tempat Kerja (Pertubuhan Antarabangsa/ Syarikat Awam Berhad) manakala Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO) Reuben Rethinalingam dinobatkan sebagai Juara CHRO (Organisasi Antarabangsa).
Reuben berkata pengiktirafan itu merupakan detik yang membanggakan bagi syarikat yang sentiasa mengutamakan pekerja dalam strategi korporatnya.
“Strategi kami yang berteraskan kepentingan insan memastikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan. Segala yang kami lakukan dalam aspek sumber manusia bukan untuk kami semata-mata tetapi juga untuk semua warga kerja di Mercedes-Benz Malaysia,” katanya yang mendedikasikan kemenangan tersebut kepada pasukan Sumber Manusia serta semua petugas yang menjadi tunjang kekuatan organisasi.
Beliau menambah kejayaan syarikat didorong oleh tumpuan terhadap peningkatan kemahiran dan latihan semula pekerja melalui inisiatif seperti melahirkan ‘jaguh digital’ dan melengkapkan mereka dengan alat dan latihan yang diperlukan untuk cemerlang dalam era kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, Kaunselor Sekolah Menengah Teknik Alor Setar Mohd Faruhi Johari berkongsi rasa teruja apabila sekolahnya menerima Anugerah Sekolah Masa Depan, yang mengiktiraf usaha sekolah dalam mempersiapkan pelajar khususnya dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan (STEM) untuk menghadapi kerjaya masa depan.
Beliau berkata inisiatif yang dilakukan termasuk menyediakan program bimbingan untuk membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang serta memperkenalkan inovasi seperti platform Google Site bagi membantu pelajar merancang kerjaya dan hala tuju selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pada tahun ini, hampir 99.6 peratus pelajar kami berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas SPM hasil daripada program yang kami laksanakan,” katanya sambil berharap pencapaian itu dapat menjadi inspirasi kepada sekolah lain.
Pemenang lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) yang merangkul tiga anugerah iaitu Organisasi Terbaik (Sektor Awam), Graduan muda ( Syarikat Sendirian Berhad/ Sektor Awam) serta Kecemerlangan Digital dan Teknologi (Syarikat Sendirian Berhad/Sektor Awam)
BNM diiktiraf atas kejayaan dalam transformasi digital menerusi Platfrom Operasi Digital (DOP), yang mengintergrasikan sumber manusia, kewangan dan perolehan. Penggunai bot dipacu AI termasuk PolicyBOT, LegalBOT dan KijangBOT, telah membantu memperkemas operasi, meningkatkan kecekapan hingga 40 peratus dan menjimatkan masa pentadbiran hingga 30 peratus, sekali gus meletakkan penanda aras bagi pengurusan tenaga kerja yang berpusatkan insan, selamat dan inovatif.
Selain kategori utama, LAWA 2025 turut memberi pengiktirafan dalam bidang seperti Wanita di Tempat Kerja dan Kepimpinan, Penjagaaan dan Kebajikan Pekerja, Kelestarian Bakat dan Tanggungjawab Sosial Korporat, dengan setiap pemenang menerima sijil dan trofi sebagai penghargaan terhadap sumbangan dalam memupuk amalan kerja yang inovatif dan progresif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial