PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan Empowering Patients Living with Diabetes (Program ERAT), satu inisiatif nasional baharu yang bertujuan meningkatkan rawatan serta menggalakkan pengurusan kendiri dalam kalangan pesakit diabetes.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata program dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Novo Nordisk itu juga bertujuan mentransformasikan rawatan dan sokongan kepada pesakit dengan memanfaatkan kepakaran ahli farmasi Klinik Pematuhan Terapi Ubat Diabetes (DMTAC).
Berucap pada majlis pelancaran Program ERAT di sini hari ini, beliau berkata dianggarkan sebanyak 3.6 juta orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, menyaksikan hampir separuh daripadanya tidak mengetahui keadaan mereka.
“Angka itu amat membimbangkan. Ia memerlukan bertindak segera dan mengenal pasti golongan berisiko, memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan rawatan berterusan bagi mereka yang telah disahkan menghidap diabetes.
“Ahli farmasi memainkan peranan amat penting dalam DMTAC kerana mereka membantu pesakit untuk mematuhi pengambilan ubat, memberi panduan gaya hidup sihat serta melakukan pemantauan rapi, semua ini penting untuk mengawal glukosa dalam darah dan faedah kesihatan jangka panjang,” katanya.
DMTAC yang diperkenalkan pada 2000 adalah perkhidmatan kendalian ahli farmasi dengan kerjasama rapat bersama doktor dan profesional kesihatan lain.
Menerusi DMTAC, ahli farmasi membantu pesakit mengambil ubat dengan betul dan selamat. Pesakit juga menghadiri sesi susulan berstruktur untuk ahli farmasi menilai tahap pematuhan, mengenal pasti masalah berkaitan ubat, memberi kaunseling serta membimbing mereka mengawal diabetes.
Dzulkefly berkata kajian tempatan yang dijalankan di hospital dan klinik kesihatan menunjukkan pesakit di bawah jagaan DMTAC mencatat peningkatan ketara dalam kawalan paras gula dalam darah, pemahaman terhadap ubat-ubatan serta tahap kesihatan keseluruhan lebih baik berbanding rawatan biasa.
Setakat ini, sebanyak 402 fasiliti KKM di seluruh negara menawarkan perkhidmatan DMTAC, disokong oleh 30 pusat latihan dan 37 penyelia bertauliah.
Beliau berkata Program ERAT mencerminkan usaha berterusan KKM untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan ke arah rawatan primer yang berasaskan pencegahan dan berpusatkan pesakit, selain memperkukuh sistem kesihatan melalui pembangunan kapasiti serta memperkasakan pesakit menerusi literasi kesihatan dan penjagaan kendiri.
Turut hadir Duta Denmark ke Malaysia Kirstine Vangkilde Berner dan Pengurus Besar Novo Nordisk Pharma (Malaysia) Sdn Bhd Dr Praful Chakkarwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial