Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Perkukuh Usaha Pastikan Rumah Mutiaraku Cukup Untuk Rakyat

01/11/2025 05:12 PM

BUKIT MERTAJAM, 1 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang terus memperkukuh usaha memastikan Rumah MutiaraKu (RMKu) mencukupi dan menepati keperluan semasa rakyat selaras dengan agenda “Perumahan Untuk Semua”.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata usaha itu dilaksanakan menerusi tiga sasaran utama digariskan di bawah Inisiatif Strategik A1 Tema A Visi Penang 2030 bagi meningkatkan daya huni serta menambah baik kualiti kehidupan rakyat.

Beliau berkata sasaran pertama ialah membekalkan 220,000 unit RMKu menjelang 2030 yang kini telah mencapai 170,175 unit atau 77.3 peratus manakala kedua melibatkan 22,000 unit rumah skim sewa beli (Rent-to-Own, RTO) dengan pencapaian semasa 5,096 unit (23.16 peratus). 

“Sasaran ketiga menyasarkan 3,000 keluarga mendapat faedah melalui pelaksanaan skim perumahan urban dan 6,837 unit merangkumi enam projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dikenal pasti untuk dibangunkan melalui inisiatif Pembangunan Semula Bandar.

“Kita berharap usaha ini dapat mencapai matlamat dan fokus kerajaan negeri untuk menyediakan kediaman selesa, selamat dan mampu milik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang agar tiada keluarga tercicir,” katanya ketika merasmikan Ekspo Rumah Mampu Milik dan Hartanah Pulau Pinang di sini hari ini.

Sundarajoo berkata kerajaan negeri turut prihatin dengan cabaran golongan rentan mendapatkan pinjaman perumahan dan bagi menangani isu itu, RTO diperkenalkan sebagai alternatif praktikal serta inklusif untuk membantu mereka memiliki rumah tanpa menanggung beban kewangan besar.

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Prestasi dan Pencapaian Perumahan (HOPE) yang dipengerusikannya diadakan setiap bulan bagi meneliti serta menyemak semua permohonan aktif supaya hanya pemohon benar-benar layak diberikan tawaran RMKu mengikut syarat dan garis panduan ditetapkan.

Sundarajoo juga memaklumkan dalam tempoh 27 bulan beliau memegang portfolio Perumahan dan Alam Sekitar, sebanyak 11,058 pemohon telah menerima tawaran unit kediaman merangkumi 1,762 unit RMKu A, RMKu B (797 unit), RMKu C1 (110 unit), RMKu C2 (421 unit) dan RMKu C3 (7,968 unit).

Dalam pada itu, beliau berkata ekspo anjuran Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bertujuan menyediakan platform menyeluruh kepada rakyat mendapatkan maklumat berkaitan pelbagai projek RMKu serta projek hartanah lain ditawarkan kerajaan dan swasta.

Sebanyak 29 pempamer menyertai ekspo itu terdiri daripada 13 pemaju RMKu, pemaju hartanah (lapan), agensi perbankan (lima) dan agensi kerajaan (tiga).

Terdahulu, sebanyak 30 penerima menerima surat tawaran RMKu bagi projek Iconic Harmoni, Twinstar@Lintang Slim, Residensi Rambai Indah, Foreshore Residence dan Ideal Venice.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan