Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tolong-meno­long, Amalan Memberi Perlu Diperkasa - Dr Wan Azizah

31/10/2025 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Amalan tolong-menolong dan menyumbang kembali kepada masyarakat perlu terus diperkasa dalam membina negara MADANI yang berteraskan nilai kemanusiaan serta integriti, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata usaha membantu golongan memerlukan benar-benar berkesan jika rakyat mempunyai kepercayaan terhadap badan kebajikan, sambil menegaskan kepentingan ketelusan dalam pengurusan dana awam.

"Dalam kehidupan kita, tolong-menolong itu penting. Itu yang kita nak suburkan dalam negara ini, sekali gus meringankan beban mereka yang memerlukan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Semula Dana oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng di Hospis Malaysia di Cheras hari ini. 

Ad Banner

Majlis itu menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM2.1 juta kepada lima penerima manfaat terdiri daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kolej Universiti New Era, Hospis Malaysia, Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).

Dr Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Lim atas komitmen menunaikan janji memulangkan semula sumbangan awam kepada masyarakat, satu tindakan yang disifatkannya mencerminkan nilai tanggungjawab dan keprihatinan sejajar semangat MADANI.

"Terima kasih sangat kepada Yang Berhormat Lim. Beliau memilih untuk sama-sama berkongsi demi kebaikan ramai," katanya sambil menyeru lebih banyak organisasi kebajikan menunjukkan prestasi bagi mengekalkan kepercayaan rakyat.

Dr Wan Azizah turut menekankan kepentingan sokongan kepada pesakit kronik termasuk kanser dan masalah buah pinggang, serta menghargai peranan Hospis Malaysia dalam menyediakan penjagaan kesihatan komuniti yang berkualiti.

Pada 29 Sept lepas, Mahkamah Rayuan mengarahkan Lim membayar ganti rugi RM75,000 berbanding jumlah asal RM2 juta kepada MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang dalam kes saman fitnah

Sementara itu, Lim berkata dana RM2 juta yang disumbangkannya hari ini adalah hasil sumbangan orang ramai yang ingin membantu dan jumlah tersebut berjaya dikumpul hanya dalam tempoh tiga hari. 

"Dengan penuh rendah diri dan keikhlasan, saya menunaikan janji untuk mengembalikan kesemua wang sumbangan awam yang saya terima kepada masyarakat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan