KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat agar memupuk budaya menyumbang dan prihatin terhadap kebajikan kesihatan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata usaha murni itu juga perlu disertai dengan kepercayaan terhadap pengurusan dana yang telus dan berakauntabiliti tinggi, sekali gus memberi manfaat kepada individu yang benar-benar memerlukan.
“Apabila kita memberi, kita mahu sumbangan itu dimanfaatkan dengan sebaiknya, justeru kepercayaan dan kebertanggungjawaban menjadi asas kepada budaya menyumbang yang sihat,” katanya dalam ucapan perasmian Makan Malam Amal ‘A Night to Care’ anjuran PPUMCare di sini hari ini.
Dr Wan Azizah berkata inisiatif PPUMCare yang menyalurkan bantuan kepada pesakit yang memerlukan, mencerminkan nilai kebersamaan dan solidariti rakyat dalam mendukung sistem kesihatan negara.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di hospital itu berkata pengalaman yang diperoleh telah mengajarnya erti pengorbanan sebenar warga kesihatan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengira masa dan keadaan.
“Saya sendiri alumni Hospital Universiti Malaya, keenam-enam anak saya dilahirkan di sini. Saya tahu betapa berdedikasinya doktor, jururawat dan kakitangan yang berkhidmat dengan hati.
“Apabila suami saya mula menceburi politik pada 1972, saya terpaksa berhenti kerja sebagai pegawai perubatan, ia bukan keputusan mudah kerana saya ingin terus berkhidmat sebagai doktor, namun saya percaya setiap pengorbanan ada hikmahnya,” katanya.
Beliau berkata PPUM kini merawat lebih satu juta pesakit setiap tahun, dengan purata 3,500 pesakit sehari dan 1,200 katil yang sentiasa digunakan sepenuhnya.
Dr Wan Azizah berkata statistik itu menunjukkan betapa besar tanggungjawab yang dipikul hospital pengajar dalam memastikan akses kesihatan berkualiti terus dinikmati semua lapisan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang serta pihak penganjur atas kejayaan mengumpul RM5.5 juta untuk PPUMCare, yang akan digunakan bagi membantu pesakit daripada golongan B40 dan M40 serta meningkatkan fasiliti perubatan di PPUM.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata PPUM berdepan cabaran kewangan yang unik berbanding hospital kerajaan lain kerana berada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan bukan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan PPUM berdepan kesukaran menampung kos rawatan yang semakin meningkat, termasuk bagi pesakit daripada golongan B40 dan M40.
“Hospital pengajar seperti PPUM tidak menerima dana secara langsung daripada KKM kerana berada di bawah Universiti Malaya, jadi dalam beberapa aspek pengurusan kos dan operasi, PPUM perlu lebih berdikari,” katanya.
Fahmi berkata idea untuk menganjurkan majlis makan malam amal itu tercetus selepas beliau menerima banyak maklum balas daripada penduduk Lembah Pantai dan pesara di sekitar Bangsar yang terkesan dengan kenaikan kos perubatan di PPUM awal tahun ini.
“Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai dan anggota pentadbiran, saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk membantu dan daripada situ, kita putuskan untuk mengadakan majlis makan malam amal ini dan saya sendiri mulakan dengan menyumbang RM50,000 kepada PPUMCare,” katanya.
Fahmi turut menyeru lebih banyak syarikat besar tampil menyalurkan sumbangan kepada PPUMCare memandangkan inisiatif itu bukan sekadar kebajikan tetapi juga pelaburan sosial untuk kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial