KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pengagihan peruntukan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun depan akan dibuat berdasarkan penilaian prestasi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata sistem penilaian projek berdasarkan ‘lampu isyarat’ digunakan sebagai mekanisme penilaian prestasi PBT mengikut kemajuan perolehan dan pelaksanaan projek berskala kecil BP.1 yang diluluskan.
“Pada masa ini, semua projek BP.1 tahun 2025 dipantau menggunakan sistem ini dan hasil penilaian itu akan digunakan sebagai asas dalam pengagihan peruntukan bagi 2026.
“PBT yang menunjukkan prestasi hijau dan konsisten akan diberi tambahan peruntukan, PBT yang mempunyai prestasi kuning akan dikaji semula peruntukan, manakala PBT yang mendapat lampu merah akan dikurangkan peruntukan, malah dibatalkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi KPKT di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas isu perumahan, Nga berkata berdasarkan Laporan Pasaran Harta Tahun 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), bilangan transaksi harta tanah secara keseluruhan merekodkan peningkatan 18.4 peratus iaitu 420,525 transaksi dengan nilai transaksi melonjak kepada RM232.30 bilion.
Beliau berkata pencapaian itu mencatatkan prestasi tertinggi industri hartanah dalam tempoh sedekad, yang menunjukkan industri berkenaan kembali pulih dengan inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan MADANI.
“Prestasi kediaman siap dibina tidak terjual juga merekodkan trend penurunan ketara iaitu daripada 37,000 unit kepada 23,149 unit,” katanya.
Beliau berkata sebagai pendekatan yang lebih inklusif dan fleksibel bagi membantu rakyat memiliki rumah, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sedang melaksanakan Kempen Rumah PR1MA sehingga 31 Dis ini yang menawarkan diskaun sehingga 25 peratus, Internet percuma selama setahun, pakej peranti rumah pintar serta menanggung sepenuhnya yuran guaman bagi meringankan beban kos pembelian rumah.
Selain itu, Nga berkata sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 197,311 unit Rumah Mampu Milik (RMM) atau 39.5 peratus daripada sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 siap dibina di seluruh negara, 217,371 unit (43.5 peratus) sedang dibina dan 79,192 unit (15.8 peratus) terima kelulusan kebenaran merancang.
“Ini menjadikan jumlah unit RMM yang telah siap dan sedang berada di pelbagai fasa pelaksanaan di seluruh negara adalah sebanyak 493,874 unit RMM iaitu 98.8 peratus daripada sasaran ditetapkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial