PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia telah menetapkan standard yang tinggi dalam mempengerusikan ASEAN sepanjang tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pencapaian itu merupakan kejayaan yang amat membanggakan kerana Malaysia telah menerima pujian dan sanjungan daripada seluruh negara anggota serantau itu.
“Ini tidak akan dapat tercapai melainkan dengan tindakan secara bersama daripada setiap lapisan dalam ASEAN. Kita bekerja rentas kementerian serta agensi, dengan semua orang memberi penghormatan kepada apa yang telah kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan, Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) dan MyCity Expo 2025 di sini hari ini.
Fadillah berkata Malaysia kini menjadi penanda aras baharu kepada negara anggota ASEAN, termasuk pengerusi blok serantau itu untuk tahun depan iaitu Filipina yang mengakui tahap pencapaian Malaysia sukar ditandingi.
“Filipina agak gusar sebab kita dah letakkan standard ini terlalu tinggi. Mereka mengatakan bagaimana mereka nak mencapai setiap tahap yang telah Malaysia corakkan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan dan keamanan serantau melalui memorandum persefahaman (MoU) serta komitmen yang dimeterai, malah memainkan peranan sebagai pengantara bagi keamanan antara Kemboja dan Thailand, di samping mencipta sejarah apabila Timor-Leste diterima sebagai rakan baharu dalam keluarga ASEAN.
Dalam pada itu, Fadillah menekankan bahawa kejayaan berkenaan perlu selari dengan usaha negara dalam memperkukuh perancangan pembangunan bandar dan luar bandar.
“Kita kena beri komitmen bagaimana kita nak mengubah negara kita, bandar kita…tak kira bandar besar atau kecil, untuk memastikan cabaran penghijrahan ke bandar dapat diimbangi. Kita mahu luar bandar juga diterjemahkan sebagai bandar yang boleh dihuni dan bersaing,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa keseimbangan pembangunan sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya turut berkata sumbangan dan perancang serta pengurus bandar wajar dihargai dan diangkat ke tahap lebih tinggi.
"Mereka bukan sahaja penyumbang dasar tetapi sebagai pemimpin perubahan yang membentuk wajah bandar-bandar Malaysia pada masa depan," katanya.
Turut hadir pada majlis hari ini, Menteri Perumahan Nga Kor Ming dan Kerajaan Tempatan, Menteri di Jabatan Perdana (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia mencapai kemuncaknya hari ini, menandakan penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 selepas tiga hari berlangsungnya pelbagai perbincangan dan dialog konstruktif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial