Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sarawak Boleh Pelajari Pendekatan Pembangunan Lebuh Raya Mesra Alam China

29/10/2025 08:58 PM

KUCHING, 29 Okt (Bernama) -- Sarawak boleh mengambil pengajaran daripada pendekatan China dalam mengimbangi pembangunan infrastruktur dengan pemeliharaan ekologi, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata model China menunjukkan bagaimana kejuruteraan moden boleh wujud seiring dengan alam semula jadi, sambil meningkatkan keselamatan dan jaringan perhubungan.

“Kita boleh belajar daripada pendekatan China dalam mengimbangi pembangunan dengan perlindungan ekologi. Projek infrastruktur masa depan Sarawak, termasuk lebuh raya, terowong dan jambatan perlu mencerminkan prinsip yang sama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya hari ini.

Ad Banner

Beliau ketika ini mengetuai delegasi Sarawak bagi meninjau Lebuhraya Ekspres Yakang di Wilayah Sichuan, China untuk meneroka kaedah pembinaan jalan dan terowong lestari yang sesuai dengan kawasan pergunungan serta sensitif alam sekitar di negara itu.

Lebuhraya Ekspres Yakang sepanjang 135 kilometer itu menghubungkan Bandar Ya’an dan Kangding di barat Sichuan, mendaki hampir 2,000 meter melalui lembah curam, zon gempa bumi serta kawasan berisiko hujan lebat dan digelar ‘Pembinaan Lebuhraya Gunung Everest’.

Uggah berkata projek itu, yang diiktiraf di peringkat nasional kerana menggabungkan keselamatan, kecekapan dan perlindungan alam sekitar menjadi contoh bagi pembinaan lebuh raya lestari di kawasan pergunungan.

Beliau berkata lebuh raya itu selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, dan menegaskan Sarawak merancang untuk mengguna pakai pendekatan serupa dalam projek infrastruktur akan datang.

“Lebuhraya Ekspres Yakang menunjukkan bagaimana kejuruteraan moden boleh wujud seiring dengan alam semula jadi,” katanya.

Delegasi itu turut melawat Kawasan Rehat Tianquan dan Muzium Lebuhraya Ekspres, dan mereka diberi taklimat mengenai penyelenggaraan, pengurusan operasi serta sistem pemantauan masa nyata.

Terowong Erlangshan sepanjang 13.4 kilometer antara lokasi utama yang dilawati, menembusi beberapa zon sesar gempa bumi dan mengurangkan masa perjalanan merentasi Gunung Erlang daripada sehari kepada hanya 15 minit.

Mereka turut meninjau Kumpulan Terowong Labahe serta Jambatan Luding Da Du He Xing Kang, yang mempamerkan teknologi terowong dan jambatan canggih yang meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan