TAMPARULI, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi tujuh agensinya telah menyalurkan RM7.96 bilion kepada 282,849 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata agensi terbabit ialah SME Bank, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS), SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Daripada RM7.96 bilion pembiayaan itu, sebanyak RM770.1 juta disalurkan kepada 40,797 usahawan dan koperasi di Sabah, dan SME Bank sahaja telah meluluskan RM314.3 juta kepada 52 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
“Saya berharap pembiayaan ini dapat terus ditingkatkan agar lebih ramai usahawan dan koperasi mendapat manfaat daripada agensi pembiayaan di bawah KUSKOP,” katanya selepas menyempurnakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SME Bank di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Saidatu Akhma Hassan, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, Pemangku Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank Hamdan Mohd Habibollah dan Presiden Lions Club Tuaran Frankie Goh.
Menerusi Belanjawan 2026, Ewon berkata kerajaan melalui KUSKOP akan memfokus kepada penskalaan usahawan PMKS, justeru peranan agensi pembiayaan sangat penting untuk merealisasikan agenda tersebut.
Mengenai program berkenaan, beliau memaklumkan SME Bank memperuntukkan RM20,000 bagi membantu 100 pelajar daripada keluarga B40 di lima sekolah sekitar Tuaran mendapatkan cermin mata baharu.
Beliau turut menghargai inisiatif SME Bank yang tampil membantu masyarakat melalui pelaksanaan program CSR dan diharap lebih banyak syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan serta agensi kerajaan turun ke lapangan melaksanakan program seumpamanya demi membantu masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial