Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

"Asean Legacy Tunnel" Bawa Pemimpin Telusur Sejarah, Kemajuan Serantau

25/10/2025 08:18 PM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Ibarat menelusuri air terjun dan terowong, para pemimpin negara yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, bakal melihat dan menghayati sejarah dan perkembangan blok serantau itu sejak penubuhan pada 1967.

ASEAN Legacy Tunnel dan River of Progress yang dipancarkan pada 80 panel skrin LED dengan saiz keseluruhan 1,200 meter persegi di sepanjang laluan itu juga akan memaparkan visual mengenai ASEAN. 

Ad Banner

Menambah keunikan pengalaman itu, lantai interaktif di laluan berkenaan menghasilkan kesan riak air setiap kali langkah diatur umpama para pemimpin sedang berjalan di atas air yang bergenang.

Sebaik tiba di pintu utama pusat konvensyen itu, ketua negara bakal disambut di dalam kubah setinggi 10 meter dengan diameter 20 meter, dihiasi dengan air terjun buatan, dikelilingi flora dan fauna, serta berlatarbelakangkan panorama ikonik ibu kota, Menara Berkembar Petronas.

Umpama dikelilingi alam semula jadi, setiap imej yang dipancarkan dan elemen yang ditampilkan di laluan berkenaan juga mempunyai mesej tersendiri. 

Bercakap kepada Bernama, Ketua Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025 (SILA) Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata idea dan konsep penggunaan flora, fauna dan sungai untuk struktur kubah dan laluan itu dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bukan sekadar paparan statik seperti pameran konvensional, beliau berkata paparan berbentuk digital ini diibaratkan sebagai pengalaman menyeluruh yang imersif dengan menggabungkan teknologi, sejarah dan identiti serantau.

Beliau berkata matlamat utama ASEAN Legacy Tunnel dan River of Progress ialah membawa tetamu menelusuri sejarah dan perkembangan ASEAN secara menyeluruh, dari awal penubuhannya hingga kepengerusian Malaysia pada 2025.

“Matlamat kita ialah ingin membawa tetamu-tetamu negara kita menelusuri sejarah ASEAN dari mula ASEAN ditubuhkan hingga kepengerusian Malaysia pada tahun ini.

“ … kita buat dalam (pameran) visual sebegini supaya kita boleh masukkan lebih banyak kandungan dan menjimatkan ruang … kita nak tunjukkan kepentingan ASEAN dan bagi Malaysia contohnya, ASEAN telah menjadi sebahagian daripada pembangunan negara serta antara tunjang kepada hubungan luar," katanya.

Selain itu, Raja Saifful Ridzuwan berkata konsep keseluruhan pameran turut memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam dan pembangunan mampan selaras dengan aspirasi ASEAN 2025 selain menonjolkan kecanggihan teknologi.

Beliau berkata sebahagian besar tenaga yang digunakan untuk menggerakkan sistem LED serta paparan interaktif ini dijana daripada tenaga pintar dan tenaga solar yang disalurkan melalui infrastruktur sedia ada di pusat konvensyen berkenaan. 

Teknologi yang digunakan di ASEAN Legacy Tunnel termasuk sistem pengimbas pergerakan berteknologi tinggi katanya, akan mengaktifkan pantulan visual air dan flora secara langsung apabila pengunjung melalui laluan itu, mewujudkan pengalaman imersif seolah-olah berjalan di atas genangan air.

Beliau berkata konsep itu membawa mesej simbolik, iaitu sungai ialah nadi kehidupan dan titik permulaan kepada tamadun serta hubungan serantau selain menyampaikan isyarat bahawa sumber alam itu bukan sekadar unsur geografi, tetapi sumber ekonomi dan budaya yang menyatukan masyarakat ASEAN. 

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula esok hingga 28 Okt, yang menghimpunkan pemimpin dari kesemua 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi perhimpunan ASEAN terbesar sejak penubuhan organisasi itu, mencerminkan peranan serantau yang semakin penting serta minat global yang meningkat terhadap peranan strategik ASEAN.

Malaysia menggalas tugas sebagai Pengerusi ASEAN buat kali kelima tahun ini selepas mempengerusikan badan serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan