Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Gesa Negara Anggota ASEAN Ganda Usaha Realisasikan Grid Kuasa Serantau

16/10/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota ASEAN supaya menggandakan usaha mereka bagi merealisasikan rangkaian grid kuasa serantau yang saling berhubung, sejajar dengan peralihan tenaga ASEAN.

Beliau berkata landskap tenaga global sedang berubah akibat tekanan daripada usaha pengurangan karbon, keselamatan bekalan serta kemampuan kos, dan rantau ini juga tidak terkecuali.

“Bagi ASEAN yang memiliki 680 juta penduduk dan tergolong antara ekonomi yang paling pesat berkembang, transformasi ini perlu diurus dengan penuh tanggungjawab dan secara bersama-sama,” kata beliau.

Ad Banner

Anwar berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 dan Mesyuarat Berkaitannya serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini, rantau ini telah mencapai keputusan penting dalam sektor tenaga termasuk pelaksanaan Fasa Satu Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) dan pengesahan Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkat mengenai Grid Kuasa ASEAN (APG).

Beliau berkata keputusan terbabit yang menandakan kemajuan penting dalam integrasi serantau dan peralihan tenaga, akan menjadikan APAEC sebagai panduan dasar ASEAN untuk masa akan datang, dengan menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengembangkan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan sambungan serantau.

“Ia turut meletakkan kesaksamaan sebagai fokus utama dalam peralihan kita. Ia memastikan setiap negara anggota maju mengikut kadar masing-masing ke arah masa depan tenaga yang rendah karbon, lestari dan bersepadu,” kata beliau.

Anwar berkata APG merupakan tonggak utama dalam visi tenaga ASEAN, yang mencerminkan aspirasi rantau ini untuk menghubungkan sistem kuasa, berkongsi sumber dan memperkukuh daya tahan melalui kebergantungan bersama.

“Dengan ini kita dapat memanfaatkan potensi tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, memastikan tenaga elektrik yang boleh dipercayai serta berpatutan merentasi sempadan,” katanya.

Anwar berkata Malaysia telah lama menyokong pelaksanaan APG dan negara ini merupakan sebahagian daripada Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura, yang telah membolehkan perdagangan tenaga secara pelbagai hala.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan