Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kabinet Akan Bincang langkah Tegas Tangani Isu Disiplin, Pengaruh Media Sosial Di Sekolah - PM

15/10/2025 12:12 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah termasuk pengaruh media sosial dalam kalangan pelajar akan dibincang oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beberapa insiden yang berlaku di institusi pendidikan kebelakangan ini memerlukan intervensi segera.

"Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini... apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial dan aplikasi.

Ad Banner

“Jadi, mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri (bagi membincangkan isu ini)... harus ambil tindakan tegas… tentunya ada pelbagai reaksi (daripada orang ramai) tetapi harus ada tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas mengenai insiden tragis yang menyaksikan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor semalam.

Ad Banner

Dalam kejadian pada kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di badan di luar bilik darjah.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian manakala Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu telah dirampas.

Sementara itu, sejak akhir-akhir ini beberapa insiden serius membabitkan pelajar sekolah dilaporkan termasuk kes rogol membabitkan empat pelajar lelaki Tingkatan Lima dan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka, yang membawa kepada tindakan buang sekolah serta-merta.

Turut mendapat perhatian ialah peningkatan kes buli di sekolah apabila data Kementerian Pendidikan menunjukkan sebanyak 7,681 kes direkodkan tahun lepas berbanding 6,528 pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan