Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Zakat Dan Wakaf Tonggak Keadilan, Kelangsungan Tamadun - PM Anwar

15/10/2025 09:18 PM

KUCHING, 15 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata zakat dan wakaf bukan sekadar wadah kebajikan, tetapi juga strategi tamadun yang berterusan yang telah membina dan mendukung masyarakat sejak berabad lamanya.

Beliau berkata zakat berfungsi sebagai alat untuk mengagihkan semula kekayaan, menyucikan jiwa dan menyatukan masyarakat manakala wakaf berperanan sebagai pemangkin yang melipatgandakan impak dan menjana manfaat berterusan.

“Kedua-duanya (zakat dan wakaf) bukan sekadar amal kebajikan. Zakat dan wakaf melambangkan keadilan, mampu memperkasakan pendidikan, memperkukuh penjagaan kesihatan, membina ketahanan terhadap perubahan iklim, menyediakan tempat tinggal serta memacu transformasi digital.

Ad Banner

“Kedua-duanya dapat memastikan tiada kanak-kanak yang membesar tanpa pendidikan, tiada keluarga yang terbiar tanpa tempat berlindung dan tiada masyarakat yang terpinggir,” kata beliau dalam ucapan majlis penutup Mesyuarat Tahunan ke-14 Forum Zakat dan Wakaf Sedunia serta Persidangan Antarabangsa 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan Anwar dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana Menteri berkata Islam tidak pernah sekadar menjadi pemerhati dalam sejarah sebaliknya merupakan kuasa penggerak yang telah menubuhkan hospital, perpustakaan, balai cerap dan universiti iaitu institusi yang diwujudkan bukan hanya atas dasar kebajikan semata-mata, tetapi sebagai maklum balas sistematik dan berstruktur terhadap keperluan manusia.

Ad Banner

“Di tengah-tengah kemajuan itu terdapat dua tunjang utama iaitu zakat dan wakaf. Kedua-duanya menjamin keadilan, mengagihkan kekayaan secara adil, membiayai ilmu dan memelihara maruah golongan rentan. Apabila institusi ini berkembang, tamadun turut berkembang. Apabila ia merosot, kita turut terjejas.

“Sejarah mengajar kita dengan jelas, jika kita mahu bangkit semula, kita perlu memulihkan dan memperbaharui tonggak ini,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar turut menggesa umat Islam untuk tidak bimbang terhadap sains dan teknologi, di samping menekankan alat seperti kecerdasan buatan (AI), media digital, teknologi kewangan dan blok rantai boleh dimanfaatkan demi kebaikan.

“Namun, kita perlu dipandu oleh apa yang saya sebut sebagai AI tertinggi kita — ‘Kecerdasan al-Quran’. Al-Quran mengandungi prinsip keadilan, belas kasihan dan tanggungjawab yang kekal relevan sepanjang masa. Teknologi tanpa nilai boleh memudaratkan, teknologi dipandu al-Quran mampu membawa perubahan besar.

“Marilah kita bayangkan aset wakaf diurus menggunakan teknologi blok rantai demi ketelusan menyeluruh, zakat diagihkan melalui platform berasaskan AI bagi meningkatkan kecekapan dan media digital dimanfaatkan untuk menyemai solidariti global. Semua ini mampu direalisasikan, asalkan kita berani mencuba,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan