KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Penyediaan perumahan inklusif dan mampu milik, pembangunan lestari, kawalan jenayah, mobiliti mampan, kelestarian alam sekitar, ruang awam berkualiti serta daya tahan bandar merupakan antara pendekatan holistik digariskan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) di bawah aspirasi ‘Bandar Selamat, Berdaya Huni’.
Dengan visi menjadikan ibu negara sebagai kota inklusif, mesra komuniti dan mampan, PTKL2040 memandu perancangan bandar terancang selaras dengan visi “Bandar Untuk Semua”.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menekankan bahawa keselamatan bandar tidak hanya bergantung pada penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga perlu diperkukuh melalui reka bentuk dan perancangan bandar menyeluruh, termasuk pengurangan risiko jenayah dan bahaya persekitaran untuk mewujudkan rasa selamat bagi penduduk dan pengunjung.
PTKL2040 menerapkan konsep Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED) dengan menekankan pencegahan jenayah melalui reka bentuk ruang bandar yang lebih mesra dan selamat.
Elemen penting termasuk pencahayaan mencukupi, pemasangan CCTV, butang kecemasan, serta pengasingan laluan pejalan kaki dan basikal daripada trafik bermotor.
PTKL2040 menumpukan perhatian kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD), kawasan perdagangan, pusat pelancongan, laluan hijau, taman rekreasi, serta projek perumahan awam yang dijana semula.
Pelan ini turut menekankan perumahan responsif terhadap demografi dan tahap pendapatan penduduk.
Antara inisiatif ialah penyediaan perumahan transit untuk belia dan keluarga kecil, kediaman mesra warga emas, serta perumahan kondusif untuk komuniti pekerja. Sasaran perumahan mampu milik untuk golongan B40 dan sebahagian M40 adalah sebanyak 40 peratus atau 305,000 unit menjelang 2040, selaras dengan aspirasi bandar inklusif, berdaya huni dan selamat.
Jumlah warga emas dijangka meningkat kepada 17.3 peratus menjelang 2040 berbanding 6.6 peratus pada 2020, manakala golongan belia dijangka hampir sepertiga daripada jumlah penduduk Kuala Lumpur.
PTKL2040 menyasarkan penyediaan 20 meter persegi tanah lapang bagi setiap penduduk menjelang 2040 melalui pewartaan, penyelenggaraan, pemantauan dan pengaktifan kawasan lapang sedia ada dan baharu.
Enam rangkaian penghubung taman utama sepanjang 254.4 kilometer disediakan untuk laluan pejalan kaki, basikal dan mikromobiliti yang selamat, selesa, mesra usia dan upaya.
Dalam aspek kelestarian,pelan ini menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 85 peratus menjelang 2040. Antaranya cadangan pembangunan ladang solar terapung di enam kolam utama di ibu negara seperti Kolam Takungan Banjir Sri Utara, Kampung Bohol, Tasik Ampang Hilir dan Tasik Bandar Sri Permaisuri.
PTKL2040 turut mencadangkan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Jinjang, Sungai Batu, Sungai Kerayong, Sungai Gombak dan Sungai Kuyoh untuk mengatasi risiko bekalan air sekiranya sumber air mentah dicemari, disokong dengan kajian teknikal terperinci.
Pelan ini juga menyasarkan 70 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2040 dengan pengukuhan sambungan first and last mile, laluan pejalan kaki dan mikromobiliti, serta sistem perkongsian basikal di 10 lokasi strategik seperti TRX, Bandar Malaysia, KLCC dan KL Sentral.
PTKL2040 menekankan Zon Pengurusan Kawasan Khas (ZPKK) dengan mengekalkan kawasan berhutan untuk mengurangkan kesan pulau haba, menurunkan suhu bandar dan memelihara biodiversiti.
ZPKK diklasifikasikan kepada tiga tahap kawalan bergantung kepada sensitiviti alam sekitar kawasan tersebut.
Keseluruhan strategi ini dijangka menyokong konsep Bandar Selamat melalui pengurangan risiko bencana seperti tanah runtuh dan gelombang haba, sambil mewujudkan persekitaran lebih sihat, selesa dan selamat untuk didiami.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial