SUKAN > BERITA

Kelayakan Piala Asia 2027: Malaysia Lebar Rekod Tanpa Kalah, Belasah Laos 5-1

14/10/2025 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia menampilkan kebangkitan bergaya pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 5-1 ke atas Laos pada perlawanan keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan skuad Harimau Malaya menguasai sebahagian besar permainan, namun ketumpulan penyudah serta ketangkasan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip menafikan beberapa peluang keemasan tuan rumah.

Pada minit kelima, percubaan jarak dekat penyerang Romel Morales ditepis keluar oleh Lokphathip, diikuti rembatan deras kapten Dion Cools dari luar kotak penalti pada minit ke-12 yang turut dinafikan.

Laos mengejutkan pasukan negara kendalian Peter Cklamovski pada minit ke-20 apabila mendahului menerusi rembatan kencang Chanthavixay Khounthoumphone dari luar kotak penalti yang terkena kepala Shahrul Saad sebelum bola menerjah jaring menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Ia merupakan kali pertama Malaysia dibolosi dalam kempen kali ini.

Lokphathip sekali lagi beraksi cemerlang apabila menafikan tandukan dari jarak dekat Corbin Ong pada minit ke-27, sebelum percubaan Morales pada minit ke-39 tersasar ke kanan gawang.

Memasuki babak kedua, Malaysia tampil lebih bertenaga sebelum episod kebangkitan bermula dengan gol penyamaan menerusi sepakan percuma pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-59.

Morales menjadikan kedudukan 2-1 apabila menyempurnakan gerakan satu-dua bersama Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-65, sebelum menyempurnakan gol ketiga hasil hantaran Cools, enam minit kemudian.

Malaysia melebarkan kedudukan selepas pemain pertahanan Laos, Khammanh Thapaseut tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-79 sebelum penyerang gantian Paulo Josue melengkapkan pesta jaringan Harimau Malaya dengan gol kelima pada minit ke-82.

Kemenangan ke atas Laos menyaksikan pasukan negara mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan untuk mendahului Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas ini, Malaysia dijadual berdepan Nepal pada 18 Nov dan akan menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan