Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TPS2025 Perkasa Teknologi Nuklear Tempatan, Buka Peluang Kerjasama Baharu Di Pulau Pinang

13/10/2025 05:15 PM

GEORGE TOWN, 13 Okt (Bernama) -- Program Promosi Bersasar: Technology Preview & Showcase (TPS2025) menjadi platfrom memperkenalkan hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) teknologi nuklear tempatan kepada pemain industri sekali gus membuka ruang jaringan strategik ke arah pengkomersilan produk serta teknologi.

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa penglibatan penyelidik agensi itu pada TPS2025 di Pulau Pinang membuka peluang memperkenalkan produk dan perkhidmatan R&D nuklear kepada industri setempat serta membina kerjasama baharu dalam bidang berpotensi tinggi.

"Sehingga kini, TPS telah berjaya dianjurkan di Kelantan, Pahang, Melaka, Johor dan Kedah dengan setiap edisi menerima sambutan positif daripada pelbagai pihak.

Ad Banner
Ad Banner

"Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi TPS2025 adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai hab industri elektronik, perkilangan berteknologi tinggi serta pelabuhan perdagangan antarabangsa," menurut Nuklear Malaysia.

Nuklear Malaysia turut menjelaskan bahawa penganjuran program berkenaan memperkukuh peranan agensi itu sebagai peneraju R&D teknologi nuklear negara, di samping menjadi platform efektif untuk merapatkan jurang antara teknologi nuklear, pihak industri dan pelanggan setempat.

Menurut kenyataan tersebut, hampir 100 peserta terdiri daripada wakil industri, syarikat swasta, agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan telah menyertai program yang berteraskan konsep pameran, pembentangan ilmiah dan sesi padanan perniagaan itu

Ad Banner

Antara objektif utama TPS2025 ialah menonjolkan hasil penyelidikan dan kepakaran penyelidik Nuklear Malaysia, mempertemukan penyelidik dengan pihak industri bagi mengenal pasti potensi penyelidikan yang menepati kehendak pasaran serta meningkatkan keyakinan industri terhadap keupayaan penyelidik tempatan dalam menyelesaikan cabaran saintifik industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan