KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Isu penyalahgunaan dadah sehingga mengakibatkan peningkatan masalah jenayah lain seperti rompakan dan ugutan, antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu dibangkitkan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi soal jawab lisan dan beliau ingin tahu tindakan kementerian bagi menangani masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini.
Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan punca kegagalan penyelenggaraan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga kerap rosak serta tindakan segera kerajaan bagi memastikan pengangkutan penumpang itu kembali lancar dan selamat.
Pada sesi sama, Wong Chen (PH-Subang) bertanyakan soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai rancangan kementerian untuk meningkatkan bilangan rumah perlindungan di kawasan luar bandar serta rancangan membaik pulih rumah perlindungan sedia ada supaya memenuhi standard keselamatan dan sokongan psikososial.
Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) turut meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah kementerian untuk terus membantu golongan muda memiliki rumah pertama yang mampu milik dalam bandar dengan kemudahan pembiayaan mencukupi, serta meningkatkan peranan sektor swasta memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.
Usai sesi soal jawab lisan, persidangan diteruskan dengan hari pertama perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) selepas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lepas.
Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan peringkat dasar diadakan lapan hari sehingga 28 Okt manakala perbahasan peringkat jawatankuasa adalah 14 hari bermula 5 Nov hingga 27 Nov.
Belanjawan 2026 memperuntukkan sejumlah RM419.2 bilion, dan daripada jumlah itu sebanyak RM338.2 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus (OE), manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu adalah edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial