Imam Masjid Janda Baik Hilang Sejak Kelmarin, Dijumpai Selamat Di Sabak Bernam - Polis

14/10/2025 12:15 AM

KUANTAN, 13 Okt (Bernama) -- Seorang imam Masjid Sultan Abu Bakar, Janda Baik, yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah resort di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Ahmad Zalmi Abdul Ghafar, 57, pada pukul 1.14 pagi tadi.

Beliau berkata keluarga mangsa berjaya mengesan keberadaannya di resort berkenaan sekitar pukul 12 tengah hari, namun mendapati lelaki itu sudah mendaftar keluar.

“Pada pukul 9.40 malam tadi, anak mangsa menghubungi Balai Polis Bukit Tinggi dan  memaklumkan bahawa ayahnya sudah pulang ke rumah di Janda Baik dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, anaknya Muhammad Syafique Aimie Ahmad Zalmi, 37, ketika dihubungi Bernama berkata tujuan ayahnya pergi ke Sabak Bernam adalah untuk mencari pekerjaan.

“Ayah tidak memaklumkan kepada keluarga mengenai hasratnya untuk mencari  kerja. Dia ke resort itu tanpa wang  dan hanya membawa barang keperluan kerana mendakwa ada tawaran kerja kosong di  kawasan berkenaan,”katanya.

Syafiq berkata mereka sekeluarga gagal menghubungi ayahnya kerana telefon bimbit  lelaki itu rosak. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan