KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Hock Kee Kopitiam, yang mempromosikan menu warisan makanan Malaysia melancarkan pembukaan cawangan ke-13 di Bukit Bintang di sini hari ini.
Sempena hari pembukaan itu, jenama kopitiam Malaysia moden berkonsepkan cita rasa tradisi itu memperkenalkan beberapa hidangan istimewa baharu termasuk Mi Udang Hock Kee, Mi Hor Fun Udang Segar Berkeju, Mi Tiram Reneh, Mi Hor Fun Kuah Jernih Udang dan Ayam Lembut, serta Mi Wantan Sos Merah yang jarang ditemukan di Kuala Lumpur.
Pengasas Hock Kee Kopitiam Nick Ng berkata cawangan di Bukit Bintang itu bukan sahaja melambangkan perniagaan jenama berkenaan yang semakin berkembang tetapi menjadi simbol dedikasi Hock Kee Kopitiam untuk memperkenalkan cita rasa asli Malaysia ke seluruh dunia.
“Kami pilih Bukit Bintang supaya banyak pelancong luar dapat merasai keenakan makanan tradisi Malaysia di tengah-tengah kawasan membeli-belah dan tumpuan pelancongan antarabangsa yang paling sibuk di Kuala Lumpur.
“Hock Kee Kopitiam juga dalam perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan di negeri lain dan juga luar negara,” katanya pada sidang media majlis pembukaan Hock Kee Kopitiam Bukit Bintang di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang juga penggemar dan pelanggan tetap Hock Kee Kopitiam.
Nick berkata misinya yang berpaksi kepada ‘Semangat Malaysia’ antara teras Hock Kee Kopitiam berasaskan nilai muhibah Malaysia iaitu semangat keharmonian, hormat-menghormati dan kebersamaan dalam kalangan rakyat berlainan bangsa, kepercayaan dan budaya.
Beliau berkata kopitiam berkenaan juga mencerminkan cara hidup unik Malaysia yang meraikan perpaduan melalui pengalaman bersama terutamanya makanan.
“Variasi menu yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan semua komuniti dan keutamaan diet, agar setiap orang tanpa mengira latar belakang dapat menikmati hidangan yang disediakan,” katanya.
Sejak ditubuhkan di Johor Bahru pada 2018, Hock Kee Kopitiam terus berkembang pesat dengan pelbagai pencapaian termasuk pembukaan cawangan pertama di Lembah Klang iaitu di Bangsar South pada 2023, selain memperoleh pensijilan halal pada tahun lepas.
Sementara itu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata beliau gemar membawa anak-anak menjamu selera di Hock Kee Kopitiam kerana terdapat pelbagai pilihan makanan termasuk menu tart telur yang diminatinya sejak kecil.
“Makanan yang disediakan adalah kegemaran saya seperti nasi lemak dan ada makanan yang pedas, anak-anak saya pun suka. Harap lebih banyak cawangan akan dibuka di Malaysia,” katanya.
Mengambil kira aspek jumlah pengunjung yang tinggi, cawangan Bukit Bintang dilengkapi dengan kiosk tempahan sendiri, kaunter khas untuk bawa pulang serta kaunter tart telur pelbagai perisa seperti Klasik, Matcha, Durian, Taro dan Kari Kentang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial