Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dasar RE_NEW Pelihara Bangunan Warisan Di Wilayah Persekutuan - Dr Zaliha

12/10/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini melancarkan Dasar Penggunaan Semula dan Penggunasuaian Bangunan Wilayah Persekutuan (RE_NEW) sebagai usaha menghidupkan semula bangunan warisan di wilayah berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata selain itu, dasar berkenaan juga bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon dan mengekalkan identiti kota.

“Jika bangunan masih selamat, bernilai dari segi warisan dan berdaya ekonomi, maka pilihan paling wajar adalah penggunaan semula, bukan merobohkan semata-mata atas nama pembangunan baharu,” katanya menerusi hantaran berkenaan. 

Ad Banner
Ad Banner

Beliau sebelum itu turut melancarkan dasar berkenaan di Rumah Hijau Taman Botani Perdana di sini hari ini.

Selain itu, Dr Zaliha berkata dasar berkenaan juga menawarkan pelbagai insentif menarik kepada pemaju dan pengusaha termasuk pengurangan caj pembangunan, kelulusan laluan pantas, kadar sewaan berinsentif untuk PKS dan komuniti, pengiktirafan karbon rendah serta geran padanan hijau.

Dr Zaliha berkata pelancaran dasar itu juga adalah kesinambungan daripada lawatannya ke Itali pada Mei lepas, apabila Wilayah Persekutuan diiktiraf sebagai bandar perintis konsep Baukultur di luar Eropah.

Ad Banner

“Seringkali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut pemerhatian Mark Twain ketika pertama kali tiba di Washington DC ‘hutan konkrit tetapi gersang budayanya.” 

“Sehubungan dengan itu, di Wilayah Persekutuan, kami mahu mengubah persepsi itu kepada bandar yang hidup dengan roh budaya,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan