Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belanjawan 2026: Pesawah Harap Kenaikan Insentif Dipercepat

11/10/2025 07:15 PM

ALOR SETAR, 11 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berharap kenaikan insentif pembajakan kepada RM160 sehektar serta insentif penuaian RM50 sehektar yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 dapat disegerakan.

Pengerusi PeSAWAH Abdul Rashid Yob berkata pelaksanaan insentif itu amat dinantikan oleh para pesawah yang telah lama menanggung beban kenaikan kos operasi penanaman padi.

Selain itu, beliau berkata PeSAWAH juga berharap agar peruntukan sekitar RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah dapat diperincikan bagi memastikan golongan berkenaan menerima manfaat secara langsung.

Ad Banner
Ad Banner

“Kenaikan insentif sering disertai dengan kenaikan harga input dan perkhidmatan menyebabkan keuntungan bersih pesawah tidak banyak berubah. 

“Oleh itu, industri padi memerlukan perubahan struktur yang menyeluruh khususnya dalam mekanisme penentuan harga padi dan beras supaya lebih adil dan telus kepada pesawah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“PeSAWAH bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi merealisasikan reformasi struktur industri padi dan beras demi menjamin kelestarian sektor pertanian serta kedaulatan makanan negara,” katanya.

Ad Banner

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam mengumumkan Kerajaan MADANI menaikkan kadar insentif pembajakan dan insentif racun masing-masing kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim.

 Anwar berkata kerajaan juga memperkenalkan insentif baharu iaitu Insentif Penuaian Padi sebanyak RM50 sehektar semusim bagi menampung penggunaan diesel untuk jentuai.

Perdana Menteri berkata dianggarkan setiap pesawah menerima bantuan kira-kira RM4,300 sehektar berbanding RM3,790 sehektar bagi setiap musim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan