KUALA SELANGOR, 12 Okt (Bernama) -- Selain UMNO, Barisan Nasional (BN) akan menampilkan calon daripada MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagaimanapun, terdapat kemungkinan untuk calon daripada MIC tidak bertanding, mengambil kira jumlah pengundi India yang kecil di Sabah.
"Calon BN kebanyakannya insya-Allah muka baharu, di samping kita kekalkan muka lama dan kita akan ramaikan juga (calon daripada) golongan profesional untuk menjadi calon BN.
"Kerjasama antara Pakatan Harapan dengan BN telah kita muktamadkan dan tidak ada pertindihan kerusi," katanya ketika ditemui selepas program Outreach Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), di sini hari ini.
Mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi BN nanti, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu akan diumumkan pada hari penamaan calon kelak.
Pada 6 Okt lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Okt ini bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan dengan PRN berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial