TAWAU, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Belia dan Sukan berusaha memastikan bidang sukan terus diperhebat dan ditingkatkan melalui pembinaan serta penyediaan pelbagai prasarana sukan di negeri itu.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata komitmen kerajaan juga turut dizahirkan dengan pemberian insentif kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.
“Sememangnya menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai atlet Sabah menyerlah di pentas kebangsaan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Sabah membuktikan kemampuan dalam melahirkan atlet berkualiti dengan kejayaan beberapa bintang sukan negeri pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Farrel Glen Felix Jerus (lompat tinggi), Merrywati Manuil (silat), Evan Rich Chong (memanah) serta Jonathan John (tinju).
“Mereka ialah bukti bahawa anak-anak Sabah mampu menjadi kebanggaan negeri dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran Sukan Sabah (SAGA) ialah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan Sabah tidak ketandusan bakat baharu. Temasya itu juga menjadi medan mencungkil atlet pelapis untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Hajiji turut berharap SAGA akan berkembang sebagai karnival sukan berprestij yang bukan sahaja menarik penyertaan masyarakat secara menyeluruh, tetapi turut melahirkan budaya sukan yang lebih meluas di Sabah.
"Semoga semua peserta SAGA XI di Tawau bertanding dengan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi, selain menjadikan temasya itu sebagai platform mempertingkatkan pencapaian masing-masing," katanya.
Sebanyak 9,588 atlet dan pegawai membabitkan 30 daerah di Sabah terlibat pada temasya SAGA XI Tawau 2025 dengan 23 jenis sukan dipertandingkan melibatkan 217 acara yang diadakan selama tujuh hari dari 11 hingga 18 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial