Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perak Sedia Jalin Kerjasama Bangun Inovasi Digital - Exco

12/10/2025 10:47 AM

IPOH, 12 Okt (Bernama) -- Pembinaan Awan AI Berdaulat atau Sovereign AI Cloud dapat memperkukuh infrastruktur digital negara sekali gus memastikan Malaysia bergerak seiring dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) global.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi berkata kerajaan negeri bersedia untuk terlibat secara aktif dalam pelaksanaan itu melalui kerjasama strategik dengan agensi pusat, universiti awam serta industri teknologi tempatan.

"Perak memiliki potensi besar dalam bidang inovasi dan keusahawanan digital sejajar dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang digagaskan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad," katanya kepada Bernama. 

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata inisiatif Awan AI Berdaulat itu bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan penyimpanan dan pemprosesan data nasional, tetapi turut memperkukuh kedaulatan digital negara.

"Langkah itu membuka peluang luas kepada sektor pendidikan, penyelidikan dan perusahaan tempatan untuk membangunkan aplikasi serta penyelesaian AI yang lebih berdaya saing,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 Jumaat lepas mengumumkan bahawa sebuah Awan AI Berdaulat akan dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pelaburan RM2 bilion.

Ad Banner

Selain itu, Anwar berkata kerajaan bercadang memberikan potongan cukai tambahan 50 peratus kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi perbelanjaan kos latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf Majlis AI Nasional MyMahir untuk Industri (NAICI) yang diterajui bersama dengan Talentcorp dan MyDigital.

 Mohd Azlan berkata dengan adanya galakan seperti potongan cukai, pembinaan tenaga kerja mahir tempatan pada peringkat negeri dapat dipercepat. 

Beliau berkata pelaburan dalam bidang AI sejajar dengan aspirasi Negara AI 2030 yang diumumkan Perdana Menteri serta akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.

"Perak akan terus memperkukuh ekosistem digital melalui program latihan, sokongan kepada syarikat pemula dan inisiatif komuniti pintar bagi memastikan manfaat transformasi AI dirasai sehingga peringkat akar umbi,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan