KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi komited memperkasakan ekosistem dan kesalinghubungan komunikasi, susulan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Kementerian itu menerima peruntukan keseluruhan hampir RM2.56 bilion bagi memastikan rakyat menikmati infrastruktur komunikasi yang lebih baik, mengukuhkan nilai kenegaraan termasuk memperkasakan ekonomi jingga.
"Kementerian Komunikasi yakin Belanjawan 2026 dapat meningkatkan lagi keterhubungan komunikasi, literasi digital serta mencambah hasil industri kreatif yang berkualiti," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Komunikasi memaklumkan sebanyak RM770 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) yang bertujuan merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar.
Selain itu, sebanyak RM110 juta diperuntukkan dalam bentuk insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa bagi penghasilan karya berkualiti tinggi termasuk RM10 juta untuk penerbitan kandungan kenegaraan, manakala sebanyak RM10 juta dalam bentuk insentif penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Kementerian Komunikasi, dalam usaha memperluas jaringan infrastruktur telekomunikasi, memperkasakan usahawan desa dan memperkukuh kesiapsiagaan bencana, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memperuntukkan sejumlah RM3.99 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM2 bilion untuk membangunkan Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) melibatkan laluan dasar laut dari Sedili, Johor ke Kuching dan Sibu, Sarawak; seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau, Sabah.
Sebanyak RM780 juta pula untuk projek Jalinan Digital Negara Fasa 2 (JENDELA 2) bagi peluasan ke 2,700 lokasi baharu, manakala RM650 juta bagi meningkatkan ketersambungan Internet di hospital awam, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti dan klinik desa.
Selain itu, sebanyak RM350 juta diperuntukkan bagi memperkasa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang memanfaatkan usahawan desa untuk meningkatkan pendapatan, dan RM210 juta untuk membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan krisis, sekali gus mengurangkan risiko kepada nyawa serta harta benda.
MCMC juga bakal membina Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion serta menubuhkan Pusat Transformasi Kecerdasan Buatan (AI) (eng: AI Transformation Centre) dengan kerjasama Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Centre of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan serta AI yang peka budaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial