KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pekerja gig, e-hailing dan p-hailing akan diberikan insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup di bawah skim i-Saraan Plus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata insentif di bawah Belanjawan 2026 itu dilaksanakan bagi melengkapkan perlindungan sosial dan menggalakkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi yang bekerja sendiri serta tidak mampu mencarum perlindungan diri.
Beliau berkata Skim i-Saraan juga diteruskan untuk pekerja informal atau individu bekerja sendiri yang lain dengan caruman padanan sehingga RM500 setahun atau RM5,000 seumur hidup.
"Akta Pekerja Gig 2025 telah mewajibkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja gig," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata kerajaan bersetuju menanggung 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pekerja gig di sektor yang belum dimandatorikan yang pertama kali mendaftar dan insentif 50 peratus bagi tahun kedua.
"Pencari kerja atau graduan baharu yang menerima tawaran kerja yang perlu berpindah lokasi akan menerima insentif bernilai sehingga RM1,000 daripada PERKESO," katanya.
Beliau berkata PERKESO turut menaikkan kadar maksimum RM170 ringgit berbanding RM150 bagi setiap rawatan hemodialisis dengan implikasi tambahan sebanyak RM52 juta setahun.
"PERKESO akan melengkapkan pusat rehabilitasi di Melaka, Perak, Terengganu dan terbaru di Pulau Pinang dengan pusat berkapasiti 250 katil," katanya.
Bagi kaum ibu, menurut Anwar, umur kelayakan i-Suri dinaikkan kepada 60 tahun selari usia persaraan minimum.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial