Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kadar Pengangguran Malaysia Kekal Tiga Peratus Pada Ogos 2025 - DOSM

10/10/2025 03:37 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Prestasi ekonomi Malaysia yang terus kukuh mendorong pasaran buruh untuk kekal stabil dan berdaya tahan pada Ogos 2025 dengan bilangan penganggur menurun kepada 520,000 orang dan kadar pengangguran pada tiga peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia Ogos 2025.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata hal berkenaan dicerminkan oleh peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, disusuli dengan penurunan bilangan penganggur. 

“Tenaga buruh semakin mengukuh pada bulan terbabit, meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17.51 juta orang (Julai 2025: 17.47 juta orang), oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus (Julai 2025: 70.8 peratus), menunjukkan penyertaan buruh yang lebih tinggi dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja pada Ogos juga bertambah sebanyak 0.2 peratus kepada 16.99 juta orang (Julai 2025: 16.95 juta orang) manakala bilangan penganggur pada bulan tersebut menurun 0.3 peratus kepada 520,000 orang, selepas mencatatkan peningkatan pada bulan sebelumnya (Julai 2025: 521,600 orang) dengan kadar pengangguran Ogos kekal pada tiga peratus seperti Julai.

Beliau berkata daripada jumlah penduduk bekerja pada Ogos 2025, 74.9 peratus adalah tergolong dalam kategori pekerja, yang menunjukkan peningkatan 0.2 peratus kepada 12.73 juta orang pada bulan tersebut (Julai 2025: 12.71 juta orang) manakala bilangan penduduk bekerja sendiri naik sebanyak 0.5 peratus mencatatkan 3.22 juta orang berbanding 3.21 juta orang pada Julai.

Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor Perkhidmatan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh pada Ogos, terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman manakala bilangan penduduk bekerja dalam sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan dan Pengkuarian serta Pertanian turut menunjukkan trend peningkatan pada bulan terbabit.

Ad Banner

“Pasaran buruh Malaysia dijangka terus berdaya tahan pada bulan-bulan yang akan datang, dengan kadar pengangguran berpotensi kekal rendah, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil, peningkatan permintaan tenaga kerja, serta pemulihan sektor utama seperti Perkhidmatan dan Pembuatan. 

“Secara keseluruhan, pasaran buruh negara berada pada landasan yang kukuh dan diramal mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh lebih sedekad, sekiranya momentum semasa dapat dikekalkan dan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan