Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Laporan Kemajuan Indikator SDG ASEAN 2025 Tunjuk Garis Kemiskinan Menurun Kepada 10.8 Peratus Pada 2023

01/10/2025 04:25 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Peratusan penduduk ASEAN yang hidup di bawah garis kemiskinan nasional pada 2023 menurun kepada 10.8 peratus daripada 13.3 peratus pada 2016, sekali gus meletakkan rantau ini di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 2023, menurut Laporan Kemajuan Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ASEAN 2025.

Dilancarkan secara maya oleh ASEANStats dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), laporan penting itu menyediakan penilaian serantau mengenai pencapaian, cabaran dalam pelaksanaan Agenda 2023 serta berfungsi sebagai rujukan penting kepada pembuat dasar, memberikan panduan tentang kemajuan, jurang data serta hala tuju strategik pemantauan SDG di rantau ini.

 Ketua Perangkawan yang juga Pengerusi Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata laporan berkenaan disediakan melalui kerjasama rapat Pejabat Statistik Kebangsaan (NSO) setiap Negara Anggota ASEAN (AMS), yang mengumpulkan data daripada pelbagai kementerian, jabatan serta agensi untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai kemajuan dari 2016 hingga 2023.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata laporan itu yang dihasilkan di bawah Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Indikator SDG mencerminkan kerjasama erat antara AMS dengan sokongan teknikal daripada Bahagian Statistik Sekretariat ASEAN.

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen Malaysia sebagai negara peneraju ACSS 2025 di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting statistik dalam permbangunan nasional dan serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata penemuan laporan berkenaan menunjukkan tenaga kerja kesihatan berkembang dengan ketara iaitu bilangan doktor meningkat daripada 6.7 kepada 8 bagi setiap 10,000 penduduk, jururawat dan bidan daripada 26.2 kepada 29.4, doktor gigi (1.1 kepada 1.4) dan ahli farmasi (2.2 kepada 2.9).

Ad Banner

“Infrastruktur dan kesalinghubungan digital turut menunjukkan peningkatan ketara. Akses kepada elektrik meningkat daripada 88.5 peratus kepada 95.7 peratus populasi. Dalam sektor pendidikan, liputan elektrik meningkat daripada 78.9 peratus kepada 85.3 peratus di sekolah rendah, 86.9 peratus kepada 89.3 peratus di sekolah menengah dan mencapai 98.0 peratus di sekolah menengah atas.

“Langganan jalur lebar tetap meningkat lebih dua kali ganda, daripada 5.7 kepada 11.8 bagi setiap 100 penduduk, manakala penggunaan Internet melonjak daripada 50.6 peratus kepada 82 peratus,” katanya.

Beliau berkata kadar pengangguran belia menunjukkan penurunan lebih ketara daripada 11.2 peratus kepada 8.5 peratus, pemilikan akaun oleh golongan dewasa meningkat daripada 60.5 peratus kepada 76.4 peratus, kapasiti tenaga boleh diperbaharui meningkat daripada 60.1 kepada 74.9 watt per kapita manakala sembilan AMS telah menerima pakai strategi pengurangan risiko bencana nasional yang sejajar dengan Rangka Kerja Sendai.

Laporan Kemajuan Indikator SDG ASEAN 2025, katanya mencerminkan kemajuan berterusan rantau ini ke arah pembangunan mampan dengan merangkumi liputan menyeluruh bagi kesemua 17 Matlamat dan 68 sasaran yang berkaitan, diukur melalui 80 indikator unik atau 165 indikator apabila mengambil kira subindikator dan indikator yang diulang merentasi pelbagai sasaran.

“Sepanjang tujuh tahun lepas, ASEAN telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan merentasi semua Matlamat, sekali gus menonjolkan komitmen kolektif rantau ini terhadap Agenda 2030.

“Sebanyak 15 sasaran kini berada di landasan yang betul, khususnya dalam bidang seperti pembasmian kemiskinan, kesihatan, kesaksamaan gender, tenaga bersih dan kekuatan institusi. Sementara itu, 32 sasaran menunjukkan kemajuan sederhana, manakala 21 sasaran menunjukkan tanda-tanda kemerosotan atau mendatar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan