Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

07/10/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan menambah baik proses pengeluaran dan pembaharuan lesen bagi menjalankan perniagaan agensi persendirian dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada sidang yang sama.

Menurut naskhah biru, RUU itu bertujuan meminda Akta Agensi Persendirian 1971 (Akta 27) dengan memasukkan subseksyen baharu (2A) untuk mengadakan peruntukan tempoh sah suatu lesen yang dikeluarkan di bawah akta itu hingga 31 Dis dalam tahun kalendar sama, atau tahun berikutnya.

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, pindaan dibuat bagi memotong Seksyen 5 Akta 27 yang memperuntukkan senarai agensi persendirian berlesen perlu disiarkan dalam warta pada bulan Mac setiap tahun bagi membolehkan orang awam membuat semakan agensi yang berlesen dan yang dibatalkan.

“Selaras dengan perkembangan semasa, segala tadbir urus agensi persendirian menggunakan sepenuhnya sistem dalaman Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Melalui sistem ini, KDN menyediakan kemudahan kepada orang awam membuat semakan dan carian status ke atas mana-mana agensi persendirian melalui semakan secara dalam talian pada bila-bila masa,” menurut RUU itu.

Ad Banner

RUU itu turut mencadangkan pindaan kepada Seksyen 9 yang memberi kuasa kepada Ketua Polis Negara untuk mengeluarkan surat kelulusan atas permohonan sesuatu agensi persendirian berlesen untuk mengambil seseorang bekerja di agensi berkenaan.

Sementara itu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk Dewan Rakyat merundingkan kes warga Malaysia Pannir Selvam Pranthaman yang bakal berdepan hukuman mati di Singapura berhubung pendakwaan bagi jenayah membabitkan dadah. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kemudian memutuskan supaya usul itu dirunding pada sesi Kamar Khas petang ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan