Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belanjawan 2026: MMA Cadang Perbelanjaan Kesihatan Awam Dinaikkan Kepada Lima Peratus

05/10/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan agar kerajaan menaikkan perbelanjaan kesihatan awam daripada 2.4 peratus kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam Belanjawan 2026, sebagai pelaburan jangka panjang bagi sistem kesihatan negara.

Presidennya Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata bagi membiayai perbelanjaan kesihatan tersebut, MMA menyarankan penghapusan subsidi gula dan perluasan cukai gula ke atas minuman bergula, dengan hasil kutipan itu dikhususkan sepenuhnya untuk kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini bukan sahaja dapat mengurangkan pengambilan makanan tidak sihat malah menyalurkan sumber terus kepada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata keutamaan paling mendesak dalam Belanjawan 2026 adalah menangani masalah kekurangan tenaga kerja dan isu mengekalkan petugas dalam sektor kesihatan awam, kerana suatu dasar yang baik sekalipun tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa tenaga kerja yang kuat.

Dr Thirunavukarasu berkata MAA turut mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk menghapuskan sistem doktor kontrak dan menggesa agar semua doktor kontrak yang masih berkhidmat diserap ke jawatan tetap, selain sokongan penuh diberikan kepada latihan pascasiswazah menerusi sama ada laluan sarjana mahupun “parallel pathways”.

Beliau berkata MMA juga menggesa kerajaan agar meneliti elaun “on-call” doktor yang dianggap sudah lapuk iaitu RM9.16 sejam, serta mencadangkan diwujudkan papan pemuka nasional untuk memetakan petugas dan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara bagi memastikan ketelusan serta pengagihan sumber yang adil.

Selain itu, Dr R Thirunavukaras berkata MMA menggesa usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) diperkukuh menerusi saringan di klinik swasta, penyumberluaran pemeriksaan kesihatan negara dan meningkatkan sokongan terhadap kesihatan mental.

Bagi mengurangkan risiko kesihatan, beliau berkata MMA mencadangkan pelabelan makanan yang lebih jelas, pengecualian cukai bagi gaya hidup sihat dan meningkatkan Skim Perubatan MADANI kepada RM150 juta.

Beliau berkata MMA turut mencadangkan pendigitalan dijadikan teras kepada reformasi kesihatan termasuk penyeragaman pelekat ID pesakit di seluruh negara bagi mengurangkan kesilapan, manakala aplikasi MySejahtera perlu dipertingkatkan untuk turut berfungsi sebagai platform memetakan klinik swasta yang terlibat.

 Selain isu tenaga kerja, NCD dan pendigitalan, Dr Thirunavukarasu berkata Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Okt ini, perlu mula membuat persediaan untuk penjagaan warga emas yang kosnya dijangka mencecah RM21 bilion atau 1.08 peratus daripada KDNK menjelang 2040.

“Kami menggesa pelaburan lebih besar bagi perkhidmatan rumah penjagaan untuk memastikan warga emas kekal sihat dalam komuniti mereka, mengurangkan kemasukan yang tidak perlu ke hospital. Kita memerlukan lebih banyak pakar geriatrik, pakar penjagaan paliatif dan profesional kesihatan bersekutu, manakala hospital dan klinik dinaik taraf dengan kemudahan mesra warga emas,” katanya. 

MMA juga mencadangkan insentif kepada hospital swasta bagi meminjamkan peralatan diagnostik selepas waktu pejabat dan memformalkan integrasi kluster doktor am-klinik kesihatan-hospital, dengan merujuk kejayaan kerjasama ketika pandemik lepas. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan