Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 600 Pesakit Kanser Payudara Daftar Dengan YKKK, Pink Ribbon Centre Percepat Rawatan

04/10/2025 05:01 PM

BACHOK, 4 Okt (Bernama) -- Sebanyak 650 pesakit kanser payudara berdaftar dengan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) sejak lima tahun lepas, menunjukkan tahap kesedaran yang semakin meningkat meskipun masih memerlukan usaha berterusan dalam aspek pengesanan awal dan rawatan segera.

Pengerusi YKKK Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata daripada jumlah itu, 280 pesakit kini berdaftar secara aktif dengan Kelab Kanser Payudara Kelantan dan mereka disaran komited menyertai pelbagai program kesedaran serta sokongan pesakit yang dilaksanakan.

Beliau berkata statistik menunjukkan hampir 50 peratus pesakit di Malaysia dikesan pada tahap tiga dan empat, manakala hanya 30 peratus dikenal pasti pada tahap satu dan dua menjadikan proses rawatan lebih mencabar.

Ad Banner
Ad Banner

“Bagi mempercepatkan proses saringan dan rawatan, Pink Ribbon Centre telah ditubuhkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Februari lepas. Pusat ini membolehkan pesakit hadir secara ‘walk-in’ tanpa perlu menunggu lama," katanya kepada pemberita selepas Program Pink Walk 2025 di Pantai Irama di sini hari ini.

Dr Imi Sairi, yang juga Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin HRPZ II, berkata pusat itu berjaya mencapai kadar sifar pesakit ponteng janji temu hasil usaha jururawat komuniti dan klinikal yang dilantik bagi menjejak pesakit untuk memastikan mereka menerima rawatan tepat pada masanya.

“Penubuhan Pink Ribbon Centre adalah hasil kolaborasi bersama Cancer Research Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memantau rawatan pesakit dari peringkat pengesanan awal hingga ke rawatan susulan.

Ad Banner

“Bagi pesakit yang menghadapi kekangan kewangan, kita turut menyediakan bantuan tambang pengangkutan ulang-alik ke hospital,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap pusat rawatan seumpama itu dapat diperluas ke seluruh daerah di Kelantan serta negeri lain memandangkan ketika ini hanya terdapat sembilan pusat seumpamanya di seluruh negara.

Beliau turut menasihatkan wanita sentiasa melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan dan menjalani pemeriksaan mamogram secara berkala, kerana pengesanan awal mampu meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan.

Mengenai Pink Walk 2025, Dr Imi Sairi berkata program tahunan yang memasuki edisi kelapan itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta, termasuk 100 pesakit kanser payudara dari seluruh negara yang hadir memberikan sokongan moral dan berkongsi pengalaman. 

Terdahulu, program berkenaan disempurnakan Tengku Puan Temenggong Kelantan Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga Pengasas Yayasan Noor Al Syakur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan