KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Setiap Oktober, negara dibanjiri dengan reben merah jambu dan pelbagai kempen bagi meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara, yang dikenali sebagai Pinktober.
Bagaimanapun, Pakar Perubatan Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway Dr Aqilah Othman berkata kesedaran sahaja tidak mencukupi memandangkan ramai wanita di Malaysia masih belum bertindak awal.
Menurut laporan Global Cancer Observatory 2022, kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap berlaku dalam kalangan wanita Malaysia, merangkumi 31.3 peratus daripada semua diagnosis kanser wanita pada 2022, dan ia juga punca utama kematian akibat kanser dalam kalangan wanita.
Dr Aqilah yang melihat sendiri kesannya berkata “semakin ramai wanita muda hadir untuk saringan, tetapi masih ramai datang pada peringkat lewat.
“Ada yang berharap ketulan itu akan hilang sendiri. Ada pula yang menangguh kerana takut atau beranggapan kanser umpama hukuman mati. Apabila mereka datang (untuk membuat saringan), kanser itu sudah lama berada dalam badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata salah faham yang sering diketengahkannya ialah tanggapan bahawa saringan hanya perlu dilakukan apabila terdapat simptom.
“Itu menidakkan tujuan sebenar saringan. Saringan dilakukan untuk mengesan kanser ketika anda masih rasa sihat. Jika simptom sudah ada, itu bukan lagi saringan, itu ialah pemeriksaan lanjut,” katanya.
Dr Aqilah berkata pengesanan awal mampu meningkatkan peluang hidup dengan ketara dengan kajian menunjukkan pengesanan awal ketika belum bergejala meningkatkan kadar sembuh dan kelangsungan hidup dengan jayanya yang jauh lebih tinggi.
“Sekiranya dikesan awal, rawatan mungkin hanya pembedahan tetapi jika lewat, rawatan akan melibatkan kemoterapi, radioterapi dan terapi hormon. Ia lebih sukar, mahal dan membebankan emosi pesakit kerana apabila kanser sudah merebak ke nodus limfa atau organ lain, rawatan agresif dan multimodal diperlukan,” katanya.
Namun begitu, Dr Aqilah berkata kadar saringan masih rendah disebabkan kekangan masa, kos, stigma serta maklumat salah.
“Ada wanita tidak dapat meluangkan masa untuk pemeriksaan. Jika mereka masih rasa sihat, mereka fikir tiada sebab untuk menjalani saringan,” katanya.
Bagi mengatasi halangan ini, beliau berkata terdapat inisiatif kerajaan yang menawarkan mamogram percuma sepenuhnya, begitu juga badna bukan kerajaan (NGO).
“Hospital swasta turut menawarkan pemeriksaan terus pada hari yang sama tanpa memerlukan rujukan. Hanya perlu minta pemeriksaan payudara dan anda akan diberi panduan dari situ,” katanya sambil menambah menjadikan saringan lebih mudah diakses bukan sahaja menggalakkan diagnosis yang tepat pada masanya tetapi juga menyumbang kepada kepuasan pesakit dengan memudahkan proses yang selalunya boleh menimbulkan kebimbangan.
Pada masa sama, Dr Aqilah turut menangkis mitos berkaitan mamogram dan biopsi.
“Mamogram bukan punca kanser. Dos radiasinya sangat rendah. Biopsi juga tidak menyebabkan kanser merebak sebaliknya penting untuk mengesahkan diagnosis serta menentukan rawatan yang paling sesuai,” katanya.
Beliau turut menepis mitos lain bahawa pesakit kanser tidak boleh menjalani kehidupan seperti biasa semasa menjalani rawatan.
“Kebanyakan rawatan pada masa ini boleh diurus dengan baik. Dengan sokongan yang betul, pesakit boleh bekerja, bercuti dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Kanser tidak bermakna seseorang perlu mengasingkan diri daripada dunia luar,” katanya.
Sempena Pinktober, Dr Aqilah menggesa wanita berusia antara 50 hingga 74 tahun yang belum menjalani mamogram dalam tempoh dua tahun untuk segera melakukannya, manakala dalam lingkungan 40-an, beliau menasihatkan agar berbincang dengan doktor jika perlu mula menjalani saringan lebih awal.
Dr Aqilah menekankan kepentingan memberi perhatian kepada tanda amaran seperti ketulan, perubahan pada kulit, lelehan dari puting atau sakit pada payudara.
“Jika simptom berlarutan lebih daripada empat minggu, dapatkan nasihat perubatan. Jangan bertangguh. Jangan beranggapan anda terlalu muda. Biarkan profesional kesihatan membimbing anda. Anda akan rasa lebih yakin apabila memahami pilihan rawatan yang ada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial