Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Inovasi Amaran Awal Banjir SMKA Bandar Penawar Raih Hadiah Emas PIE 2025

28/09/2025 06:19 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 28 Sept (Bernama) -- Pengalaman berdepan banjir hampir saban tahun mendorong sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Bandar Penawar, Kota Tinggi mencipta inovasi Flood Alert Sensor Technology (FAST), yang melayakkan mereka dianugerahkan penerima emas pada pertandingan Project Ideation Experience (PIE) 2025.

Inovasi FAST yang meraih emas bagi kategori Affordable and Clean Energy (SDG7) itu dibangunkan empat pelajar tingkatan tiga iaitu Rizky Amsyar Afeef  Abdullah, Muhammad Mirza Mohd Johari, Adie Firdaus Othman dan Muhammad Luthfil Hadi Sidek dengan bimbingan guru Kamaruzaman Abd Samad, bertujuan  memberi amaran awal serta meningkatkan kesiapsiagaan komuniti menghadapi risiko banjir.

Ad Banner

Pereka grafik dan bentuk projek inovasi berkenaan Rizky Amsyar Afeef berkata kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan mereka mendorong penghasilan sistem berasaskan teknologi pintar bagi membantu masyarakat bertindak lebih cepat dan selamat.

Menurutnya, FAST bertindak memberikan amaran awal menerusi notifikasi aplikasi mudah alih, selain menggunakan lampu LED, buzer dan pam automatik untuk mengurangkan risiko kenaikan paras air secara drastik.

"Projek ini mengambil masa sebulan untuk disiapkan meliputi proses pengekodan, reka bentuk, ujian sistem dan persiapan pembentangan.

“Kami buat projek ini sebab tinggal di daerah Kota Tinggi yang sering dilanda banjir. Dengan FAST, penduduk boleh dapat amaran lebih awal, sekali gus membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis penutup PIE 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, semalam.

PIE 2025 anjuran UTM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Pontian menghimpunkan 100 pelajar dari 25 sekolah menengah lima daerah bagi membangunkan inovasi berasaskan Internet of Things (IoT)  bertemakan “Karbon Sifar”, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan generasi pelajar kreatif dan berdaya saing.

Rizky Amsyar berkata FAST berfungsi menggunakan sensor ultrasonik bagi mengukur paras air, dengan lampu LED hijau akan menyala apabila paras air normal, bertukar kuning pada tahap amaran dan merah ketika paras bahaya, disertai bunyi buzer serta notifikasi automatik menerusi aplikasi Blynk dan Telegram.

Selain itu, katanya sistem pam automatik akan mengepam air berlebihan ke kolam takungan sementara bagi melambatkan kenaikan paras air, sekali gus memberi ruang pihak berkuasa melakukan tindakan awal.

Bagi guru pengiring, Kamaruzaman Abd Samad, 39, kejayaan pelajar itu membuktikan penglibatan dalam pertandingan seperti PIE dapat melatih mereka lebih berdikari dan menguasai kemahiran di luar bilik darjah.

“Segala aspek projek termasuk pengekodan, pembentangan dan penghasilan slaid dilakukan sendiri oleh pelajar.

"Mereka bukan sahaja belajar di kelas, tetapi juga menguasai kemahiran STEM melalui aktiviti seperti ini. Program sebegini perlu digalakkan kerana ia membantu melahirkan generasi lebih inovatif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata FAST turut menepati ciri kelestarian dengan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, lebih murah, mudah diselenggara serta berpotensi dikomersialkan kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Malah, katanya, ia mempunyai nilai eksport kerana boleh diaplikasikan di negara jiran yang turut berdepan risiko banjir seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Kumpulan pelajar SMKA Bandar Penawar itu juga merancang menaik taraf FAST dengan fungsi tambahan serta menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi bagi membolehkan teknologi berkenaan dimanfaatkan secara meluas di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan