Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NADI Felda Bukit Batu Bantu Anak Tadika Hingga Warga Emas Celik IT, Komputer

24/09/2025 05:05 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

KULAI, 24 Sept (Bernama) -- Daripada kanak-kanak tadika sehinggalah warga emas, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Pusat NADI) di Felda Bukit Batu terus menjadi tumpuan penduduk kampung yang menyifatkan ia sebagai pintu utama kepada dunia teknologi maklumat (IT).

Sejak mula beroperasi pada tahun 2010, Pusat NADI ini telah membantu ramai penduduk kampung sama ada dalam urusan kerajaan, pembelajaran, pekerjaan dan aktiviti komuniti sekali gus memudahkan kehidupan harian serta membuka peluang celik digital kepada semua peringkat usia.

Ad Banner
Ad Banner

Pembantu Pendidik Masyarakat Tabika Kemas Felda Bukit Batu Norizan Sahem, 54, yang juga Setiausaha Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Bukit Batu, berkata kanak-kanak tabika turut menerima manfaat apabila diberi peluang belajar menggunakan komputer di Pusat NADI sekali gus membantu mereka mendekati dunia digital sejak awal usia.

“Mereka seronok bila giliran datang ke sini... sekarang sebulan sekali kami bawa anak-anak datang sini, kalau boleh kita nak kerapkan lagi kerana mereka cepat belajar dan lebih yakin bila guna komputer... lagipun mereka seronok dan teruja bila dapat belajar guna komputer bersama rakan-rakan.

“Saya sendiri kerap datang ke sini sebab sebagai Setiausaha GPW, saya memerlukan kemudahan untuk menyediakan minit mesyuarat dan sebagainya... jadi di sinilah pusat sehenti yang lengkap dan memudahkan saya untuk mesyuarat serta cetakan malah tempat ini juga sangat selesa.

Ad Banner

“Dulu sebelum ada pusat NADI, memang susah... tiada kemudahan seperti ini... jadi sejak adanya pusat ini, memang sangat memudahkan,” katanya kepada Bernama.

Senada dengan Norizan, pesara Abd Rahman Md Yusof, 67, yang juga Bendahari Masjid Al Muhajirin Felda Bukit Baru, berkata beliau sering memanfaatkan Pusat NADI dalam urusan akaun masjid termasuk mendapatkan penyata bulanan dan mencetak dokumen.

“Siapa pun yang mendapat ilham untuk wujudkan Pusat NADI ini, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak... bagus sangat untuk kami di kampung dengan Internet yang stabil... kalau ada masalah dalam urusan pun, staf cepat bantu... kita yang sudah berusia tidaklah mahir, jadi bila ada yang boleh bantu, urusan masjid jadi lebih mudah.

“Kalau tiada pusat ini, memang sukar sebab capaian Internet di Felda kadang-kadang terbatas... saya lihat pusat ini sangat penting untuk anak-anak muda belajar dan tidak membazirkan masa di tempat-tempat yang tidak elok,” katanya.

Bagi Penolong Setiausaha Masjid Al Muhajirin Felda Bukit Batu Mazlan Mohamad, 48, Pusat NADI menjadi tumpuan penduduk untuk pelbagai urusan daripada cetakan, semakan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah sehinggalah kepada kursus komputer dan aktiviti komuniti.

“Kalau dulu, bila tak tahu nak buat sesuatu, kita terpaksa cari orang yang pandai komputer... sekarang mudah, staf di sini tunjuk cara malah lokasinya pun strategik, dekat sekolah dan masjid... jadi, memang ramai penduduk memanfaatkannya.

“Saya juga pernah menganjurkan program berkaitan IT di sini seperti pertandingan komputer serta kursus asas, dan penduduk kampung memang memanfaatkannya dengan baik.

“Walaupun ada yang tidak begitu mahir menggunakan komputer, kehadiran pusat ini memberi peluang kepada mereka untuk belajar... bagi saya, kewujudan Pusat NADI di kampung ini memang sangat bermanfaat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Bukit Batu Jamallulail Ahmad berkata kewujudan Pusat NADI benar-benar memberi manfaat besar kepada penduduk yang sebelum ini berdepan kesukaran mengakses Internet.

Beliau berkata sejak ditubuhkan, pusat itu telah memberi peluang kepada penduduk yang sebelum ini tidak mempunyai akses Internet untuk memanfaat kemudahan tersebut bagi pelbagai urusan dalam talian termasuk urusan kerajaan, pembelajaran anak-anak dan peluang pekerjaan.

“Bila ada program atau acara, sambutan juga sangat menggalakkan kerana ramai hadir dan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak NADI.

"Terima kasih kepada pihak kerajaan yang sentiasa prihatin,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan