Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

14 Filem Terima Insentif ITFC 2.0 Daripada Finas

30/09/2025 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 14 filem tempatan menerima Insentif Tayangan Filem Cereka 2.0 (ITFC 2.0) berjumlah lebih RM1.1 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sebagai penghargaan atas kejayaan meraih kutipan pecah panggung.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata penyaluran insentif itu secara tidak langsung memberikan impak positif kepada perkembangan industri seni tanah air, khususnya dari segi peningkatan kualiti filem yang dihasilkan.

“Alhamdulillah kita punya rekod untuk pecah panggung (box office) tahun ini, walaupun tak sampai hujung tahun lagi dah melepasi apa yang kita capai tahun lepas. Inilah yang kita inginkan...kita nak tarik banyak lagi penonton yang meminati filem tempatan untuk datang ke pawagam,” katanya selepas penyerahan ITFC 2.0, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Majlis penyampaian insentif itu disempurnakan Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengerusi Skim Wajib Tayang Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi).

Finas menyalurkan lebih RM1.7 juta insentif ITFC merangkumi sembilan filem daripada tujuh syarikat penerbitan yang menerima lebih RM600,000 di bawah ITFC 2.0 pada April lepas, manakala 14 filem menerima lebih RM1.1 juta di bawah insentif sama hari ini.

Ad Banner

Azmir Saifuddin berkata insentif itu bukan sahaja meringankan beban penerbit, malah menjadi bukti sokongan kerajaan terhadap kelangsungan industri filem negara serta merupakan satu imbuhan kepada penerbit untuk mencapai kutipan pecah panggung lebih tinggi.

“….hasratnya supaya imbuhan ini mereka (penerbit) boleh hasilkan filem seterusnya. Ini juga adalah satu inisiatif bagi menggantikan potongan cukai hiburan,” katanya.

Beliau berkata penyerahan insentif itu dibuat berdasarkan perkiraan mengikut kutipan pecah panggung sesebuah filem, contohnya, bagi kutipan sebanyak RM2 juta, insentif dikira pada kadar 10 peratus dan seterusnya lima peratus, dengan jumlah maksimum ditetapkan sebanyak RM500,000.

“Contohnya filem Blood Brothers, walaupun dia cecah kutipan berpuluh juta, dia akan dapat maksimum RM500,000 sahaja,” katanya.

ITFC merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Finas bagi membantu dan menggalakkan penerbit filem menghasilkan filem cereka tempatan, secara tidak langsung menjana pembangunan industri filem melalui strategi galakan industri.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan