Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan MADANI Salur Peruntukan Awal RM100,000 Sokong Program RXZ Members 7.0

18/08/2025 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan lanjut mengenai keperluan tambahan akan diadakan bersama pihak penganjur pada minggu hadapan.

Beliau berkata sokongan itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim dan penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat menerusi pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

“Program ini menjadi platform utama menghimpunkan peminat serta penggiat permotoran dari seluruh negara sekali gus mengangkat potensi industri permotoran ke tahap lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata pihak polis akan memberikan bantuan dan kawalan sewajarnya bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang program.

Beliau turut mengingatkan peserta dan penganjur supaya mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Dalam semangat Bulan Kemerdekaan, saya turut mengajak seluruh peserta untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan serta kecintaan kepada tanah air.

"Semoga program ini bukan sahaja menjadi wadah permotoran yang positif, tetapi juga medan memperkukuh perpaduan nasional dan semangat patriotisme rakyat Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus menyokong inisiatif masyarakat yang membawa manfaat bersama dan memperkukuh perpaduan selain membina budaya permotoran yang positif, selamat dan berdaya maju demi kemakmuran negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan