Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Bantuan Guaman Dan Pembelaan Awam Dijangka Dibentang Di Parlimen Minggu Depan

18/08/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang juga antara agenda reformasi undang-undang, dijangka dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU itu menjadi antara usaha Kerajaan MADANI bagi membantu memudahkan masyarakat mendapatkan akses kepada keadilan.

“Ini dapat memberikan fokus kepada golongan rentan dan rakyat yang dilihat sebagai mencukupi syarat-syarat untuk mendapatkan bantuan (guaman) itu, akses yang lebih luas kepada khidmat guaman dan pembelaan berkualiti sejajar dengan prinsip keadilan untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung sesi perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Azalina berkata pelaksanaan inisiatif mahkamah bergerak di Semenanjung telah dipersetujui hasil pertemuannya dengan Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan minggu lepas.

Beliau berkata inisiatif yang telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak itu disasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu mahkamah bergerak di setiap negeri di Semenanjung.

“Kita harap dengan adanya mahkamah bergerak ini, konsep akses kepada sistem perundangan sama ada bagi khidmat guaman, penyelesaian kes-kes kecil dan pendaftaran dokumen penting menjadi langkah inklusif untuk memastikan keadilan tidak hanya di pusat bandar, tetapi juga di desa dan kawasan pedalaman.

“Kita berharap dalam Belanjawan 2026 yang akan dibawa oleh Perdana Menteri, insya-Allah perkara ini boleh menjadi satu kenyataan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan