KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) akan ditutup sementara bermula 1 pagi hingga 11 pagi, Ahad ini (3 Ogos) bagi memberi laluan kepada IJM Duo Highway Challenge Run 2025.
Bagi NPE, penutupan itu melibatkan dari kilometer (KM) 1.8 di Bulatan Kewajipan (Subang Jaya) ke KM 11 ke arah Bangsar serta dari Kuchai Lama Entrepreneurs Park ke Plaza Tol Pantai Dalam di kedua-dua arah.
Di Besraya pula di laluan persimpangan bertingkat Kuchai Lama hingga ke Jalan Pandan 1 di KM 21.9 menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bagi kedua-dua arah.
Ketua Pegawai Eksekutif bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan Wan Salwani Wan Yusoff berkata pengguna diminta menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesulitan sepanjang penutupan itu dengan butiran berkaitan laluan alternatif boleh diperoleh melalui platform media sosial NPE dan Besraya.
Beliau berkata penutupan bagi acara tahunan itu mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang acara. Pasukan pengurusan trafik serta petugas teknikal juga akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memastikan pelaksanaan acara berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata kira-kira 13,000 peserta dijangka menyertai acara itu yang akan bermula dan tamat di hadapan pusat beli-belah Sunway Pyramid, dengan kategori utama melibatkan larian maraton penuh sejauh 42.1 km, selain kategori 21km, 10km dan 5km.
Beliau berkata peserta maraton penuh akan melalui kedua-dua lebuh raya utama itu dengan pelari akan memulakan larian menghala ke arah Templer dan Kuchai Lama sebelum berpatah balik ke titik permulaan di Sunway Pyramid.
“Laluan yang terlibat di Lebuhraya Besraya termasuk Kuchai Lama, Sungai Besi, Salak Selatan, Plaza Tol Loke Yew, Jalan Istana, Jalan Cheras, Pandan Indah, Maluri, Jalan Pandan 1 dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Di Lebuhraya NPE pula melibatkan laluan susur masuk dan keluar Kampung Pasir, Pantai Sentral Park, Kuchai Maju, Sungai Besi dan laluan pusingan U Kuchai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohamed Usuf Jan menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi arahan pihak polis yang akan bertugas di lokasi sepanjang acara berlangsung.
“Pihak polis bersama petugas trafik lebuh raya akan memastikan aliran trafik dan keselamatan sepanjang acara berjalan lancar. Sebarang kesulitan amat dikesali dan kerjasama daripada semua pihak amat dihargai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial