KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak 5,800 pembayar cukai dikenal pasti tidak patuh dalam pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) menerusi pemantauan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap pelaksanaan e-Invois sebelum ini.
Melalui tindakan awal pematuhan terhadap pembayar cukai berisiko gagal melaporkan pendapatan, LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejumlah pembayar cukai berkenaan tampil mengemukakan BNCP dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM484 juta, yang menyumbang kepada hasil cukai tambahan RM82 juta.
Menurut LHDN menerusi pelaksanaan e-Invois, pihaknya menerima maklumat individu dan syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan sejak 1 Ogos tahun lepas dan sentiasa memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois.
Ia untuk memastikan pematuhan cukai dilaksanakan secara sukarela dan berterusan selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara.
“Sehingga hari ini, sekitar 413 juta e-Invois dikeluarkan secara keseluruhan. Penyertaan lebih 83,000 pembayar cukai ini bukan sahaja melibatkan pembayar cukai fasa pertama hingga fasa ketiga pelaksanaan e-Invois secara mandatori, tetapi turut disertai pembayar cukai fasa keempat dan kelima secara sukarela.
“Ini menunjukkan tahap penerimaan baik oleh pembayar cukai dalam mematuhi pelaksanaan e-Invois. LHDN juga ingin memaklumkan bagi pembayar cukai yang telah tamat tempoh kelonggaran perlu melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan,” menurut kenyataan itu.
Pembayar cukai juga diingatkan untuk sentiasa mengemas kini rekod cukai mereka dan memastikan pematuhan sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil oleh LHDN.
LHDN turut menyarankan pembayar cukai untuk menghubungi saluran khas yang disediakan oleh agensi berkenaan untuk bantuan khidmat nasihat atau sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan e-Invois, termasuk berkunjung ke pejabat LHDN.
Pembayar cukai juga boleh menghubungi meja bantuan e-Invois di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam) atau melalui MyInvois Live Chat, emel myinvois@hasil.gov.my bagi pertanyaan umum e-Invois dan borang maklum balas pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial