KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Seramai 884 pelajar luar bandar dan anak pekebun kecil diraikan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini atas kejayaan cemerlang mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menerusi Program Tuisyen Rakyat RISDA.
Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 diadakan di sebuah hotel di sini.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengumumkan pemberian insentif khas sebanyak RM300 kepada setiap pelajar cemerlang.
“Program ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menjayakan Aspirasi Desa MADANI supaya tiada anak desa tercicir hanya kerana faktor lokasi atau latar belakang.
“Saya yakin, dalam kalangan yang diraikan hari ini, ada yang bakal menjadi profesional, teknokrat, ilmuwan, bahkan mungkin seorang Perdana Menteri suatu hari nanti,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Pengerusi RISDA Manndzri Nasib, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Setiausaha KKDW Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli.
Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan penerusan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini melibatkan peruntukan RM264.91 juta oleh RISDA untuk membantu lebih 330,000 pekebun kecil, termasuk yang berdaftar di bawah FELDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), bagi menghadapi cabaran cuaca tidak menentu.
Sementara itu, Manndzri berkata keberkesanan Program Tuisyen Rakyat RISDA yang dilaksanakan sejak 2007 terbukti apabila jumlah pelajar yang memperoleh 5A ke atas meningkat kepada 884 orang berbanding 654 orang tahun lalu — peningkatan sebanyak 35 peratus.
Menurut beliau, program tersebut yang menelan kos RM3.52 juta pada tahun lalu telah memberi manfaat kepada 3,015 peserta di seluruh negara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan desa.
Seramai 1,005 tenaga pengajar memberikan bimbingan intensif dalam lima mata pelajaran teras di 201 pusat tuisyen, dengan kapasiti maksimum 15 peserta setiap pusat bagi menjamin suasana pembelajaran yang kondusif dan berfokus.
Katanya sejak dilaksanakan pada 2007, program berkenaan telah memberi manfaat kepada 35,316 pelajar dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM31.03 juta.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gulau, Sik, Kedah, Siti Sarah Sabri, 18, yang juga anak penoreh getah dan anak ketujuh daripada sembilan beradik berkata program tersebut banyak membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.
“Program ini banyak membantu saya, terutama apabila tidak menyertai mana-mana tuisyen lain. Tanpa bimbingan, semangat dan motivasi untuk belajar berkurang. Jadi, apabila ada tuisyen percuma, saya jadi lebih bersemangat untuk belajar.
“Tuisyen ini juga berjaya meningkatkan potensi diri saya. Ia bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah RISDA turut menyediakan buku nota dan buku tulis yang sangat membantu sehingga saya memperoleh keputusan cemerlang,” katanya yang berjaya meraih 9A dalam peperiksaan SPM.
Seorang lagi pelajar, Nur Syafiaqah I’zzati Mohamad Affendi, 18, berkata penyertaannya dalam program tuisyen RISDA banyak membantu memperbaiki prestasi akademiknya selepas agak ketinggalan sewaktu di Tingkatan Lima kerana perlu menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama.
“Tapi selepas masuk program tuisyen ini, saya berjaya kejar semula pelajaran. Sebelum ini banyak subjek saya gagal, tapi akhirnya saya berjaya dapat 9A. Memang program ini sangat membantu,” katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-IttifaqiyyahGuai, Bera, Pahang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial