IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih, dekat Tapah berjaya ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh hari ini.
Jaslinda ditemukan oleh penduduk Orang Asli Nazri a/l Bah Eng, kira-kira 5 petang yang dalam perjalanan untuk memancing.
Berikut kronologi melibatkan permulaan pendakian mangsa sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) selesai yang dikemas kini antara 23 Mei hingga 6 Jun.
23 Mei
Jaslinda bersama 13 peserta lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Pada 10 malam hari sama, seorang pendaki lelaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah pernafasan dan muntah berdarah telah berhenti berehat di Kem Batu Kor bersama seorang MGP serta Jaslinda.
Sementara 12 peserta lain meneruskan perjalanan ke puncak Batu Putih.
24 Mei
Bagaimanapun, Jaslinda yang berhenti rehat di kawasan itu kerana dipercayai mengalami sakit pada bahagian kaki telah meneruskan perjalanan bersendirian tanpa MGP ke puncak Gunung Batu Putih.
Selepas itu, MGP memaklumkan bahawa itu adalah kali terakhir dia melihat Jaslinda sebelum hilang tanpa dapat dikesan kira-kira 7.30 pagi pada hari tersebut.
Pada hari sama, sekitar 11.32 pagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan berkaitan dua mangsa yang cedera di puncak Gunung Batu Putih, Tapah.
Pada 4 petang, MGP memaklumkan bahawa dia (MGP) bersama mangsa lelaki masih berada di Kem Batu Kor dan turut memberitahu tidak tahu keberadaan Jaslinda dan beranggapan Jaslinda telah meneruskan perjalanan ke puncak.
25 Mei
JBPM Perak bersama agensi lain telah melancarkan operasi membawa turun Mohd Hanafi dengan menggunakan bantuan pesawat Agusta 139 dari Pangkalan Udara Bertam ke Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan mangsa selamat tiba kira-kira 3 petang.
Dalam masa sama, operasi SAR mencari Jaslinda diteruskan dengan menghantar 12 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Perak ke Puncak Gunung Batu Putih.
Pada awal operasi SAR pasukan penyelamat yang menjejaki laluan mangsa menemukan kesan tapak kasut di kawasan yang bukan laluan utama pendakian yang disyaki milik wanita berkenaan yang dipercayai telah tersasar daripada trek asal.
26 Mei
Operasi SAR diteruskan dengan penambahbaikan aspek komunikasi daripada SAPURA iaitu RangkaianTrunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) operasi SAR Gunung Batu Putih di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh.
Pada hari tersebut maklumat baru diterima, penemuan botol air, suplemen, bekas suplemen, jejak tapak kaki, bekas bungkusan gula-gula yang dipercayai milik mangsa di laluan menuju Gunung Rayu menjadi petunjuk terbaru dalam operasi tersebut.
27 Mei
Misi mencari dan menyelamat diteruskan dengan penghantaran pasukan operasi baharu yang terdiri daripada lapan anggota dihantar ke Bukit Berapit 2 pada 9.15 pagi menggunakan pesawat AW139.
Bagaimanapun, operasi pada hari itu diteruskan sehingga ke Kem Sukaneka melibatkan perjalanan berjalan kaki menyusuri permatang gunung selama lima jam namun menemui jalan buntu dan anggota bermalam di lokasi pencarian di puncak gunung tersebut.
28 Mei
Operasi SAR terus dipergiat termasuk menambah keanggotaan dengan penglibatan 36 anggota JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerak Am, Jabatan Perhutanan dan MGP di kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu serta memperluas pencarian ke kawasan kemungkinan mangsa mencari sumber makanan dan air.
Sehubungan itu, SAR memberi tumpuan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok, dipercayai menjadi laluan mangsa untuk mendapatkan sumber air.
Pada hari ini, mangsa dilaporkan memasuki fasa kritikal selepas tempoh kehilangan melebihi 72 jam.
29 Mei
JBPM Perak menggunakan dron bagi membantu operasi SAR termasuk untuk memantau dan mencari di kawasan cerun, tebing serta lokasi sukar diakses pasukan penyelamat.
Dalam hari sama, terdapat maklumat penemuan satu nota tulisan di atas tanah “HAFIZ AMBIK GAMBAR AKAK DH SAMPAI” ditinggalkan menjadi bukti bahawa mangsa telah sampai di puncak Gunung Batu Putih dekat Tapah, bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila nota itu ditulis oleh mangsa.
MGP Perak yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata beliau yang bertindak sebagai pengawal belakang atau sweeper bagi ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman itu, menyedari kewujudan nota di atas tanah berkenaan ketika tiba di puncak gunung pada 10.45 pagi pada 24 Mei tersebut.
30 Mei
Rakaman kamera pengawasan hidupan liar berjaya mengesan Jaslinda dan mengesahkan mangsa bergerak menuju ke Kem Sukaneka di Gunung Batu Putih dekat Tapah, berdasarkan petunjuk penting daripada rakaman kamera pengawasan hidupan liar yang diperoleh hari ini.
Petunjuk terbaharu itu, diperoleh selepas cip kad memori daripada dua unit kamera pengawasan di puncak gunung diambil pada 10.15 pagi yang memaparkan rakaman imej mangsa telah melintasi Kamera 1 pada 11.22 pagi bertarikh 24 Mei 2026 namun tiada sebarang rakaman imej mangsa berpatah balik melintasi Kamera 1 itu.
Bagi Kamera 2 pula, tiada sebarang rakaman imej Jaslinda melintasi Kamera 2 yang menuju Gunung Batu Bujang pada tarikh 24 dan 25 Mei, sehubungan dengan itu laluan itu disahkan tidak dilalui mangsa.
31 Mei
Pasukan SAR mengumpul keanggotaan tambahan sebagai perancangan sekiranya memerlukan tindakan bersepadu serta menyeluruh di sektor pencarian ditetapkan.
Dalam pada itu, maklumat daripada pasukan SAR pada 12.30 tengah hari memaklumkan rakaman kamera pengawasan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan Bukit Berapit 2 telah diperiksa, namun tidak menemukan sebarang imej mangsa di laluan itu.
Pasukan SAR dan anggota Perhilitan telah bergerak ke lokasi kamera pengawasan di Gunung Rayu bagi mengambil satu lagi kad memori untuk dianalisis.
1 Jun
Lapan anggota PGA Batalion 3 Bidor diterbangkan ke lokasi operasi SAR mangsa bagi membantu pencarian dan meningkatkan aspek keselamatan susulan penemuan najis haiwan buas di kawasan berkenaan.
Pelaksanaan aktiviti SAR masih giat dijalankan di Kem Kantoi hingga ke Gunung Rayu.
Dalam masa sama, misi SAR dijangka menggunakan khidmat Orang Asli daripada Kampung Orang Asli (KOA) Ampang Woh bermula esok.
2 Jun
Pasukan sukarelawan komuniti Orang Asli dari Kampung Woh membuat persiapan rapi bagi membantu usaha SAR.
Sebanyak 22 sukarelawan daripada suku Semai membuat persiapan termasuk menyediakan bekalan makanan dan kelengkapan diperlukan bagi operasi yang mungkin memakan masa selama lima hingga enam hari.
3 Jun
Operasi SAR Jaslinda diteruskan dalam skala kecil bermula 4 Jun di bawah seliaan JBPM, selepas diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan operasi hari ini.
PKTK operasi SAR Gunung Batu Putih di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh ditutup.
4 Jun
Pos Kawalan Bersepadu dibuka di Balai Bomba dan Penyelamat Tapah dan individu atau kumpulan yang berhasrat menyertai operasi SAR perlu membuat permohonan sebelum disaring oleh pihak JBPM.
Operasi SAR Jaslinda diteruskan dengan pendekatan lebih tertumpu berdasarkan maklumat atau petunjuk baharu yang diterima.
5 Jun
Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) melarang aktiviti pendakian secara dayhike dan compressed hike di kawasan pendakian yang berisiko berkuat kuasa serta-merta.
6 Jun
Pendaki wanita Jaslinda berjaya ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh oleh Orang Asli kira-kira 5 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial