Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

DOF Bina 74 Tukun Tiruan, Jana Hasil Biojisim Ikan Lebih RM84,000

28/07/2025 06:19 PM

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) membina 74 tukun tiruan di enam negeri sepanjang tahun lepas yang bukan sahaja memulihara biodiversiti marin, malah berjaya menjana hasil biojisim ikan dengan nilai pasaran tertinggi mencecah RM84,759. 

Menurut DOF, sempena sambutan Hari Konservasi Sedunia 2025 pembinaan tukun tiruan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.4 juta telah dibina di Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan lokasi melibatkan kawasan strategik seperti Pulau Payar, Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Dodol dan Pulau Seri Buat.

“Secara keseluruhan, 205 tapak tukun tiruan telah diwujudkan sehingga kini yang berperanan sebagai habitat pembiakan ikan dan perlindungan biodiversiti marin. Hasil kajian menunjukkan setiap lokasi tukun menyumbang antara 129 hingga 6,047 kilogram biomass ikan,” menurut kenyataan DOF. 

Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada program konservasi berterusan DOF yang merangkumi pemuliharaan habitat marin dan darat, perlindungan spesies akuatik serta pengurusan sumber secara mampan demi memastikan kelestarian ekosistem perikanan negara.

Dalam aspek pemuliharaan spesies marin khususnya penyu, DOF merekodkan sebanyak 7,724 pendaratan penyu di seluruh negara hingga bulan ini, dengan 565,507 telur telah dipungut bagi tujuan pemuliharaan dan pengeraman terkawal.

Melalui usaha konservasi itu, sebanyak 430,568 anak penyu berjaya dilepaskan ke habitat semula jadi, termasuk pelepasan anak penyu yang ditetaskan daripada pengeraman tahun-tahun sebelumnya.

Mengenai usaha pemuliharaan sumber ikan air tawar, DOF telah mewujudkan 13 santuari ikan air tawar di Semenanjung Malaysia yang menempatkan pelbagai spesies ikan asli tempatan seperti ikan kelah, tengas, lampam sungai dan udang galah, manakala tambahan tujuh lagi santuari baharu sedang dalam pelaksanaan bagi tempoh 2025 hingga 2026.

Selain itu, bagi menyokong pemulihan populasi ikan asli di perairan umum, DOF turut melaksanakan program pelepasan benih ikan secara berfasa, melibatkan pelepasan 49.6 juta benih ikan dari 2021 hingga 2025.

“Program ini melibatkan peruntukan RM2.38 juta dan merangkumi spesies seperti ikan kelah, temoleh, baung sungai, puyu, lampam sungai, sebarau, terbul dan udang galah,” menurut kenyataan itu.

Menurut DOF, usaha tidak terhenti di situ sahaja, malah diteruskan dengan perlaksanaan Zon Konservasi Perikanan (ZKP) yang meliputi kawasan pesisir pantai sejauh kosong hingga satu batu nautika dari garis pantai, merangkumi habitat penting seperti paya bakau, terumbu karang, rumput laut dan dataran lumpur yang menjadi kawasan pembiakan serta perlindungan spesies marin seperti ikan, penyu, kerang-kerangan, dugong dan kuda laut.

Sejak 2014, pengurusan ZKP telah dilaksanakan di Kedah, Perak dan Selangor melibatkan keluasan 1,734 kilometer persegi dan DOF menganggarkan sekiranya ZKP diperluas ke negeri lain di Semenanjung Malaysia, kawasan konservasi itu berpotensi meningkat kepada 4,351 kilometer persegi.

Jabatan itu akan terus memperkukuh pelaksanaan program pemuliharaan berasaskan data dan pengalaman lapangan, dengan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti nelayan dan sektor swasta, sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030 serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14: Life Below Water).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan