KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Op Selamat PaPa) bermula pada 1 Ogos ini sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), khususnya membabitkan rokok elektronik atau vape.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata operasi itu bukan sahaja bertujuan melindungi golongan lelaki yang merupakan perokok utama, tetapi juga wanita dan ahli keluarga lain yang terdedah kepada asap basi atau passive smoking.
“Data Registri Kanser Kebangsaan menunjukkan sebanyak 8,091 kes kanser paru-paru direkodkan antara 2022 hingga 2023, melibatkan 5,251 lelaki dan 2,840 wanita,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung pendirian kementerian terhadap langkah beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik dan vape dalam negeri masing-masing.
Dzulkefly berkata KKM mengalu-alukan dan menyokong pendirian enam kerajaan negeri yang mengambil sikap untuk tidak memperbaharu lesen penjualan rokok elektronik atau vape kepada premis-premis untuk menjual vape.
Menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai isu dadah dalam vape, beliau berkata kementerian sedang meneliti pengharaman segera terhadap penggunaan sistem terbuka yang membolehkan cecair vape diubah suai atau dicemari dengan bahan terlarang.
“Bagi tempoh hingga Jun 2025, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan hampir 70 peratus daripadanya didapati positif bahan-bahan terlarang dalam vape (antaranya) methamphetamine dan synthetic cannabinoids,” katanya.
Pada sidang media selepas itu, Dzulkefly berkata KKM sedang meneliti secara terperinci langkah ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia.
“Akta 852 ialah akta kawal selia dan tidak menyentuh soal pengharaman, jika pengharaman mahu dilaksanakan, ia perlu berdasarkan cadangan baharu,” katanya.
Beliau berkata sebarang cadangan pengharaman penuh akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bukti saintifik, kes EVALI (kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape), aspek perundangan, implikasi terhadap industri, ekonomi serta keberkesanan penguatkuasaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial